Pengiktirafan UEC Satu Langkah Kebelakang Oleh Kerajaan Warisan, Apa Perlunya Untuk Rakyat Sabah?

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Husin menggesa kerajaan Warisan membina satu modul pembelajaran yang boleh menyatukan keseluruhan masyarakat di Sabah dan bukannya memisahkan daripada bangku persekolahan lagi.

Jelas beliau, mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ini seperti memperlekehkan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sedangkan sistem UEC menggunakan Bahasa Mandarin dalam pembelajaran.

Lebih parah lagi katanya apabila pelajar sekolah persendirian Cina seakan-akan menjauhkan diri dari masyarakat dan mereka tidak memahami dan fasih berbahasa kebangsaan kerana kurang bercampur dengan bangsa lain.

“Pengiktirafan ini akan merampas peluang pelajar lain yang mengikuti sistem pendidikan sedia ada terutamanya pelajar yang berbangsa cina dan ianya akan memberi kesan ke atas Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Ini boleh mengakibatkan jurang diantara kaum dan boleh menjejaskan keharmonian berbilang kaum di Sabah selama ini terpelihara,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Azmi lagi, masyarakat Sabah terdiri daripada berbilang bangsa, bukan mudah menjaga dan menyatupadukan rakyat Sabah apatah lagi jika ada sistem pembelajaran yang memisahkan antara kaum.

“Apa pentingnya kerajaan Warisan mengiktiraf sijil UEC ini jika selama ini sistem pembelajaran sedia ada tidak mendatangkan masalah kepada mana-mana pelajar dari berbagai kaum?”

Jika pengiktirafan ini diteruskan satu hari nanti akan melihat syarikat-syarikat tertentu akan meminta sijil UEC sebagai kelayakan untuk mendapatkan kerja, menurutnya lagi.

“Bagaimana pula jika kaum-kaum lain juga membuat satu modal pendidikan mereka dan meminta untuk kerajaan mengiktirafnya?

“Adakah kerajaan Warisan akan mengiktiraf semua sijil kaum-kaum tersebut?

A”pa keperluan perkara ini kepada kerajaan Warisan? Adakah ianya ada kena mengena dengan pelaburan daripada negara China?”

Untuk rekod, kerajaan Warisan telah mengiktiraf UEC sebagai syarat masuk Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam negeri.– UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.