Muafakat Nasional Masa Hadapan Rakyat, Harus Diterjemah Menjadi Kemenangan

AYER KEROH, 6 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muafakat Nasional yang telah ditandatangani pada 14 September yang lalu memberi kesan yang sangat baik dan kesan itu bukan sekadar menembusi hati mereka yang hadir tetapi paling bermakna adalah rakyat di luar UMNO dan PAS yang juga memberi dokongan kepada penyatuan ummah ini.

Jelas beliau, apa yang harus dilakukan kini adalah menterjemahkan komitmen, struktur organisasi dan gerak kerja agar ia menjadi kemenangan yang berpihak kepada parti.

“Apakah formula yang harus kita guna untuk capai kemenangan? Permasalahan yang berlaku dahulu bukan kerana seteru politik kita kuat tetapi kerana kita lemah. Justeru kelemahan ini harus diperbaiki, permasalahan intra parti harus diselesaikan, penyatuan buah fikiran harus dilakukan dan penyatuan tindakan juga harus dilakukan,” ujar beliau ketika berucap dalam program Konvensyen UMNO Negeri Melaka di sini hari ini.

Tambah Zahid, beliau mahu melihat Muafakat Nasional menjadi satu entiti politik yang mampu membawa kepada permuafakatan semua bangsa.

Selain itu Zahid juga memohon agar konvensyen ini mampu menzahirkan bentuk tawaran dan harapan baru yang boleh diberikan kepada rakyat.

“Saya mohon konvensyen ini melihat apakah tawaran baru yang boleh diberikan kepada rakyat… apakah harapan baru yang dapat diberikan pengundi dan rakyat, apakah dasar baru yang boleh ditawarkan sebagai sebuah parti dan ia bukan hanya kepada orang Melayu.

“Kerana itu UMNO perlu perlu menjuarai semua isu rakyat tanpa modal… dulu masa mereka jadi pembangkang, mereka hanya janjikan harapan, mereka hanya melontarkan sesuatu yang belum tentu mereka mampu lakukan dan mereka juga tidak jangka akan menang tapi bila menang rakyat rasa tertipu.

“Dalam situasi ini, kita harus bergerak, bila mereka tidak dapat memberi mengikut janji yang diberikan maka rakyat melihat dan meletak harapan kepada kita,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE