Kongres Maruah Melayu Hanya Tinggal Kongres… Tun M Terus Amal Sikap Rugikan Melayu


KUALA LUMPUR, 6 Okt. – Kongres Maruah Melayu akan hanya terus tinggal kongres kerana tiada sesuatu yang dapat mengubah keadaan jika Tun Dr Mahathir terus amalkan sikap yang rugikan orang Melayu dan bumiputra.

Demikian bidas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Melayu berpecah? Memang betul berpecah. Namun siapa yang menjadi punca perpecahan ini? Dari parti UMNO lahir Semangat 46, timbul PKR, dan wujud BERSATU. Bukankah semua parti ini wujud kerana Tun Mahadhir? Justeru parti UMNO berpecah kerana siapa?

“Hari ini Tun kata Kerajaan PH tiada kekuatan kemelayuannya. Ini juga salah siapa? Bukankah Tun juga yang meruntuhkan kuasa UMNO BN yang kuat Melayunya kerana dendam kesumat menebal dalam diri Tun? Kemudian memenangkan Dap yang benci Melayu?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, janganlah Tun berterusan salahkan Melayu kerana malas dan tidak mahu rebut peluang.

“Kelemahan yang ada pada sebahagian orang Melayu juga kerana kelemahan Tun sewaktu 22 tahun sebagai PM ketika bersama BN dan sekarang bersama PH.

“Kalau ada orang Melayu yang gagal, itu juga sebahagian kelemahan Tun yang diberikan kuasa untuk membina kekuatan orang Melayu dan rakyat dalam negara ini.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.