Kenyataan Tun M Bukti Manifesto PH Adalah Bohong Dan Fitnah

BATU PAHAT, 5 Okt – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr. Shamsul Annuar Nasarah berkata, kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kandungan manifesto mereka adalah satu perangkap untuk Barisan Nasional (BN) memandangkan mereka tidak menyangka akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), membuktikan janji manifesto adalah satu pembohongan.

Jelas beliau, ini juga secara tidak langsung menjawab segala persoalan mengapa janji manifesto tidak ditunaikan.

“Tun cakap mereka sengaja letak perkara susah dalam manifesto supaya bila kalah ia akan menjadi beban dan perangkap kepada BN. Apa ni… berguling orang di atas jalan raya… hari ini Perdana Menteri ke-7 cakap, apa yang disenaraikan dalam manifesto adalah untuk menjadi perangkap kepada kerajaan BN?

“Maka ia dengan sendiri membuktikan apa yang terkandung dalam manifesto PH bohong semata-mata… fitnah… dan kerana bohong dan fitnah inilah UMNO dan BN yang memerintah begitu lama hilang kuasa,” ujar beliau ketika berucap dalam program Penyatuan Ummah di Batu Pahat malam tadi.

Oleh kerana manifesto PH sudah terbukti satu pembohongan maka Dr Syamsul Anuar mengajak rakyat untuk melihat kandungan Muafakat Nasional yang telah dimeterai oleh UMNO dan PAS.

“Antara kandungan dalam Muafakat Nasional adalah menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjamin Islam sebagai agama persekutuan.

“… menjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Melayu, Bumiputera dan kaum-kaum lain, bahasa Melayu serta menjamin masyarakat majmuk dalam negara ini terpelihara.

“Masyarakat majmuk itu apa maksudnya? Bukan Melayu Islam sahaja tetapi kaum-kaum lain juga. Ini buktikan kita ikhlas dan serius dan membela semua kaum di negara ini,” jelas beliau.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk menyokong Muafakat Nasional ini.

“Apa yang kita lakukan ini untuk rakyat Malaysia. Jadi marilah menyokong apa yang dilakukan oleh dua parti ini kerana kerajaan yang ada hari ini tidak boleh diharapkan malah rekod dan petunjuk yang ada dihadapan kita juga menunjukkan mereka sangat gagal,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.