PH Jangan Malu Buat Pusingan U Lagi

ALOR SETAR 4 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta tidak malu membuat pusingan U dan ‘bermuka tembok’ dengan mengembalikan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) demi meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob secara sinis berkata, rakyat sudah biasa dengan sikap PH itu yang sering kali menyalahkan kerajaan sebelum ini tetapi pada masa sama mengguna pakai dasar-dasar yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan, BN konsisten menekankan bahawa GST merupakan sistem percukaian yang lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), malah banyak digunakan di negara maju di dunia.

“Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) sendiri telah mengaku GST adalah lebih baik daripada SST. Justeru, janganlah ego tidak bertempat dan enggan mengaku kelemahan sendiri.

“Walau bagaimanapun harus diingat supaya agihan kutipan GST nanti dikembalikan untuk kebajikan rakyat. Semasa pemerintahan BN, kutipan GST dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai bantuan bersasar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan semula GST jika itu merupakan kehendak rakyat.

Sebelum itu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan supaya memperkenalkan semua GST pada kadar lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

Perkara itu kemudian disokong Ahli Parlimen Kangar daripada PKR, Noor Amin Ahmad dan memaklumkan, kebaikan mengenai GST sudah disampaikan beliau semasa sesi Dewan Rakyat tahun lalu.

Menjelaskan lebih lanjut, Suraya memberitahu, antara bantuan diberikan kerajaan BN hasil daripada kutipan GST adalah meningkatkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pemberian baucar buku untuk mahasiswa.

“Malangnya agihan (kutipan GST) ini dianggap sebagai rasuah, ‘tongkat’ dan ‘dedak’. Dasar kebajikan BN itu dihina dan penerima dianggap pemakan dedak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.