Janji Dan Perancangan Kerajaan Negeri Kedah Pimpinan PH Hanya Satu Mitos

ALOR SETAR, 4 Okt – Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, segala perancangan dan janji kerajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Harapan (PH) hanyalah sebuah cerita mitos yang tidak boleh dipercayai.

Jelas beliau, semuanya hanya sedap didengar tetapi tidak ada satu pun perancangan kerajaan negeri yang dilaksanakan.

“Sudahlah mereka tidak meneruskan segala perancangan pembangunan kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional (BN) yang baik untuk rakyat, perancangan dan janji mereka sendiri juga mereka tidak laksanakan.

“Walaupun mereka telah membentangkan segala bajet yang tinggi dalam pembentangan Bajet 2019 namun rakyat masih tidak merasai nikmat dan semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barang,” ujar beliau dalam program ‘live FB’ Bicara Tokoh anjuran Media UMNO Kedah baru-baru ini.

Tambah Zaini yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, daripada sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sehinggalah kini, tidak ada satu pun hala tuju yang dilihat dapat memberi manfaat kepada rakyat terutamanya rakyat di Kedah.

“Kepimpinan PH di Kedah apatah lagi apabila dibarisi oleh pemimpin yang tidak berpengalaman maka ia akan merencatkan pembangunan negeri… akibatnya rakyat yang rugi. Semasa BN menjadi kerajaan negeri Kedah, BN telah melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2019-2035 untuk memacu pertumbuhan ekonomi negari Kedah dalam meningkatkan KDNK Negeri dan menambah peluang pekerjaan dalam negeri ini.

“Antara pembanguan yang dirancang dan sedang dibina dalam kawasan Kubang Pasu ialah tiga projek berkenaan merangkumi penubuhan Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) dan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam dekat sini, serta Bandar Getah Kedah (KRC) di Padang Terap yang menyediakan 15 ribu peluang kerja dalam tempoh 4 tahun akan datang dan untuk tempoh 30 tahun itu dijangka mampu menyediakan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan apabila siap sepenuhnya kelak.

“Namun apabila PH mengambil alih kerajaan negeri Kedah, kebanyakan pembangunan yang dirancang tidak diteruskan,” terang beliau.

Justeru tegas Zaini, rakyat harus pandai menilai semula kerajaan mana yang terbaik untuk mereka dalam PRU-15 nanti.

“Kalau sudah tertipu sekali jangan tertipu kali kedua,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.