GST Akan Dikembalikan, Rakyat Ditipu Lagi? – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 4 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memohon maaf kepada Barisan Nasional (BN) dan seluruh rakyat kerana berbohong mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), rakyat tertipu dan percaya tentang omongan keburukan GST serta percaya tentang kebaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) walhal ia sebaliknya, tegas Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kini katanya, Kerajaan PH mengakui kebaikan GST setelah kesan dari GST di tukar kepada SST, pendapatan berkurangan lebih dari 20 billion dan banyak insentif untuk rakyat ditarik balik, malah beberapa syarikat milikan kerajaan dijual untuk menutup lompong kewangan akibat penipuan ini rakyat menjadi mangsa.

“Saya hanya mahu bertanya kepada rakyat hari ini apakah yang kita semua dapat dari mandat yang diberikan kepada kerajaan PH hari ini selain penghinaan, pembohongan, pengkhianatan dan penipuan mereka terhadap setiap kategori masyarakat dari luar bandar sehingga penghuni kota.

“Dari bayi yang baru lahir sehingga warga emas dan pesara. Semuanya telah merasa kesannya. Kerajaan PH merupakan sebuah kerajaan yang telah terbukti gagal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya yang juga Naib Presiden UMNO, rakyat terkejut dan keliru dengan kenyataan bahawa kerajaan PH akan mengkaji untuk memperkenalkan semula GST.

“Sekali lagi Kerajaan PH membuat u-turn walaupun berbagai fitnah dilemparkan kepada Barisan Nasional (BN) tentang GST sebelum ini.

“Memfitnah cukai GST sebagai asbab barangan dan kos sara hidup rakyat meningkat dan membebankan berjaya membeli undi rakyat Malaysia untuk menolak Kerajaan BN,”

Katanya, 1 Julai 2018 diisytiharkan ‘Tax Holiday’ selama tiga bulan menyebabkan ramai taikun dan tauke-tauke besar bersorak riang dan1 September 2018 kerajaan PH memperkenalkan kembali cukai SST.

“Hasil dari “Tax Holiday’ itu kerajaan menanggung kerugian lebih kurang RM7 hingga RM10 billion cukai yang tidak dikutip hanya dalam jangka masa tiga bulan dan wujud kekurangan perbelanjaan juga hasil dari kejatuhan harga minyak dunia untuk merealisasikan Bajet 2019 ketika itu.Hasil dari itu juga Kerajaan PH terpaksa mencari dana lain seperti meminjam Bon Samurai termasuk menjual aset-aset penting milik syarikat milik kerajaan dan juga Petronas dipaksa membayar dividen khas kepada kerajaan sebanyak RM30 billion.

“Saya harus huraikan sedikit senario ini kerana hari ini Perdana Menteri membuat kenyataan untuk mengkaji semula perlaksanaan GST apabila Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia(MIER) menyarankan agar GST diperkenalkan semula.
https://t.co/8Hex4yKjQE?ssr=true”

Cuma katanya, beliau sedikit terkilan dengan kenyataan Tun Dr Mahathir apabila seolah meletakkan kepincangan ini kepada rakyat dengan menyatakan, “Kalau itu kehendak rakyat,kita akan kaji sama ada lebih baik dari SST” .

“Setahu kita PH kata rakyat yang berkehendakkan GST dihapuskan. Tiba-tiba sekarang rakyat dipersalahkan kerana seolah mahukan GST.

“Bukan semuanya rakyat memahami perkara berkaitan percukaian. Tanggungjawab sebuah kerajaan untuk menyediakan dan memberikan dasar terbaik kepada rakyat. GST diperakui lebih 160 negara di dunia dan hanya Malaysia yang mengundur kebelakang dengan membatalkan GST dan kembali kepada SST.

“Rakyat tak peduli SST atau GST asalkan harga barangan lebih murah dan ianya mendatangkan kebaikan kepada status ekonomi negara. Buktinya jelas apabila setelah SST diperkenalkan semula tidak ada satu barang yang turun harga selain telor ayam seperti lapor Menteri PH sebanyak RM0.02 sen.Tidak ada kebaikan dan penurunan harga yang dapat dinikmati rakyat hasil kembalinya SST.”

Terangnya, yang mendapat untung ialah syarikat-syarikat besar dan peniaga yang kembali boleh lari dari membayar cukai perniagaan mereka dan tidak mengistiharkan keuntungan syarikat mereka.

“Yang untung ialah peniaga dan tauke-tauke besar hasil ‘Tax Holiday’ yang diberikan kerajaan PH. Rakyat apa dapat?”

Ujarnya, jika cadangan MIER ialah memperkenalkan semula GST dengan kadar yang lebih rendah dari sebelum ini 6% maka ini juga usaha yang pernah dilakukan Ahli Parlimen dari pembangkang yang pernah menyarankan dan memohon untuk kerajaan mempertimbangkan mengekalkan GST tetapi menambah senarai barangan pengecualian dan meletakkan satu kadar yang lebih rendah seperti 3% atau mengikut keperluan.(Lihat link perbahasan di Parlimen)

“Jelaslah bahawa tidak ada satu pun janji dan formula yang mampu kerajaan PH lakukan untuk membantu rakyat selain menipu dan mengingkari janji mereka kepada rakyat. Jika masih ada rakyat yang merasa mereka tidak tertipu, saya jadi hairan dan tak masuk akal,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bera. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.