Daripada Laksana Semula GST, Baik Tukar Kerajaan Terus… – Mohd Sharkar


KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sekiranya benar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mahu melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), maka ini adalah ‘u-turn’ terbesar dalam sejarah politik negara.

Jelas beliau, ini juga secara tidak langsung membuktikan apa yang kerajaan terdahulu buat adalah yang terbaik dan mengikut perkembangan ekonomi dunia.

“Semasa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan GST, mereka begitu agresif memukul canang menabur fitnah GST ini zalim dan menindas rakyat. Mereka kata SST adalah yang terbaik. Kita sudah terangkan banyak kali tetapi mereka terus memanipulasikan perkara sebenar.

“Kini mereka hendak kembalikan GST atas alasan kehendak rakyat… sebenarnya daripada mereka hendak kembalikan GST adalah lebih baik mereka beri mandat semula kepada rakyat… tukar kerajaan terus,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar, kerajaan BN dulu telah melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat tetapi kerana persepi dan segala fitnah yang dilemparkan maka rakyat tertipu dan terpedaya dengan segala janji manis pembangkang ketika itu.

“Banyak masa kita habiskan untuk memberi penjelasan kepada rakyat namun pembangkang ketika itu berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat.

“Kita telah terangkan kebaikan GST sebab itu banyak negara melaksanakannya. Kemudian, kerajaan BN memperkenalkan BR1M… kita pulangkan hasil kutipan GST kepada golongan bawah B40. BR1M ini adalah rebet kepada golongan ini namun semua kebaikan ini dirosakkan oleh fitnah PH.

“Jadi, saya cadangkan kepada kerajaan, memandangkan rakyat sudah tidak percaya dan kepada mereka adalah lebih baik bubarkan Parlimen agar rakyat dapat kembali memilih,” tegas beliau.

Beliau turut menyeru kepada rakyat yang akan mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai agar menyuarakan ketidakpuasan hati mereka melalui undi.

“Sebagaimana rakyat menyuarakan rasa kekecewaan mereka di PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, maka kali ini terus zahirkan rasa kekecewaan itu.

“Tunjukkan kepada kerajaan bahawa kuasa sebenar adalah di tangan rakyat,” ujar beliau.

Untuk rekod, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dilapor berkata, Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan semula GST jika itu kehendak rakyat. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.