UMNO Berlapang Dada, Ambil Sikap Terbuka Hadir Kongres Maruah Melayu – Annuar


KUALA LUMPUR, 3 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata sebagai sebuah parti terbesar orang Melayu dan sebagai pelopor bersama Piagam Muafakat Nasional UMNO-PAS, parti itu berlapang dada dan mengambil sikap terbuka untuk hadir Kongres Maruah Melayu yang dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober ini.

Menurut beliau parti berkenaan mengikuti perkembangan dan perbincangan yang menyentuh kepentingan orang Melayu dan negara yang menjadi sebahagian dari teras dalam perjuangan UMNO itu sendiri.

“Pada 1 Oktober, Ibu Pejabat UMNO telah menerima satu jemputan dari pihak penganjur Kongres Maruah Melayu yang ditujukan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Presiden parti telah membawa perkara ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO pada 2 Oktober dan Jawatankuasa Biro Politik pada 3 Oktober, seterusnya ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Adalah diputuskan bahawa parti bersetuju menghantar satu rombongan yang akan diketuai oleh Setiausaha Agung,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Tambah Annuar lagi persetujuan menghadiri majlis tersebut adalah atas dasar menghormati pihak penganjur iaitu Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Putra Malaysia yang difahamkan mengambil inisiatif membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu. – UMNO Online
[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2019/10/KONGRES-MARUAH-MELAYU.pdf”]

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.