PH Sedia Perkenal Semula GST: Ada Lagu ‘ABCDGST’ Versi 2.0 Tak? Antara Persoalan Dr Wee


KUALA LUMPUR, 3 Okt – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sinis melontarkan persoalan apakah lagu ‘ABCDGST’ nyanyian Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng, kini Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching akan terdapat versi 2.0.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menimbulkan persoalan demikian mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedia perkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), setelah dimansuhkan oleh mereka selepas menjadi kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu dan digantikan dengan sistem cukai regresif, cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Lagu ‘ABCDGST’ yang dipopularkan oleh Guan Eng penuh dengan sindiran dan kecaman terhadap GST.

Dr Wee dalam Facebooknya turut melampirkan video kompilasi nyanyian Guan Eng dan Teo Nie Ching, yang turut dilampirkan keratan akhbar dalam Bahasa Cina.

Soal Dr Wee lagi, sekiranya GST diperkenalkan semula, adakah ia bermakna pemimpin PH mengakui bahawa kenyataan-kenyataan mereka semasa kempen PRU-14 dulu satu penipuan.

“Jika ya, bersediakah pemimpin PH membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia? Bidasnya lagi.

Seterusnya, mengimbas kembali pada awal Ogos 2018 ketika Guan Eng mengemukakan Rang Undang-undang (RUU) memansuhkan GST dan memperkenalkan semula SST, Dr Wee pernah mencadangkan kepada kerajaan PH supaya mengurangkan kadar GST kepada 3 peratus.

“Kenapa ketika itu PH tidak mahu menerimanya malah Guan Eng menolak dengan begitu angkuh sekali? Tanya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.