Dulu Fitnah, Tohmah… Sekarang Boleh Pula Puji Pentadbiran Kerajaan BN?- Armand
KUALA LUMPUR, 3 Okt. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hari ini kelihatan lemah dan tiada hala tujunya dalam pentadbiran negara lantas boleh pula memuji hasil usaha pentadbiran Barisan Nasional (BN) sedangkan dahulu difitnah dan ditohmah.
Katanya, jika dilihat sejak 9 Mei 2018 sehingga kini PH gagal menarik pelaburan luar dan mencipta pelaburan baru untuk kebaikan masa hadapan negara.
“Hari ini jelas bahawa pentadbiran Kerajaan BN dahulu senantiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan, berbanding dengan rejim PH yang kini lebih berminat menjual serta mengadai aset negara di samping terus menambah hutang dengan pelbagai pinjaman.
“Kini dah nampak apa-apa kebaikan yang dibuat oleh Kerajaan BN dulu, mereka pulak mengaku hasil kerja mereka. Ibarat lembu punya susu, sapi dapat nama,” katanya kepada UMNO-Online.
Tambahnya, semenjak PH mentadbir negara banyak hasil usaha yang dibina oleh BN ditukar nama, antaranya sekarang Bantuan Sara Hidup (BSH) yang asalnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Pusat Komuniti Desa (PKD) menggantikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menjadi AWAS (Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik) serta banyak lagi.
“Dulu mereka sebagai pembangkang selalu mengkritik, memfitnah dan membantah untuk mempengaruhi minda rakyat dan akhirnya apabila hari ini mereka mendapat kuasa jadi seperti hilang pendirian.
“Sebelum ini projek mega seperti ECRL, TRX, kemudian projek Forest City yang dikatakan BN jual negara pada China tetapi setelah mereka berkerajaan diakui pula dan terkini Projek Stesen Janakuasa Battersea di United Kingdom pun dipuji,” katanya lagi.
Dilaporkan, baru-baru ini dalam lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke United Kingdom, Pengerusi PH itu melahirkan rasa kagum dengan projek Stesen Janakuasa Battersea yang dilaksanakan kerajaan terdahulu pimpinan BN hingga berswafoto berlatarbelakangkan projek tersebut.– UMNO ONLINE