Dakwa Dilatih: Ianya Mustahil! Tiada Siapa Boleh Tentukan Pendengaran PAC


KUALA LUMPUR, 3 Okt – “Anggota-anggota pembangkang dalam PAC biasanya akan menyoal siasat saksi-saksi dalam pendengaran-pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan mereka hanya akan berhenti setelah tiada lagi soalan yang hendak ditanya, dan inilah yang sepatutnya berlaku!”

Demikian bidas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berhubung dakwaan bekas ketua pegawai ekeskutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengatakan beliau ‘dilatih’ sebelum disoal (PAC).

Dilaporkan, Isnin lalu, Shahrol Azral yang merupakan saksi kesembilan pendakwaan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Jho Low memberi ‘talking points’ kepadanya dan turut mengatur pertemuan dengan dua ahli PAC Barisan Nasional sebelum sesi itu.

Sehubungan itu, Abdul Rahman menegaskan bahawa tiada siapa pun yang boleh menjangka atau menentukan keputusan pendengaran PAC, kerana tiada siapa pun boleh mengurus dan menjangka apakah yang akan ditanya oleh ahli-ahli parlimen pembangkang dalam pendengaran PAC.

“Ianya mustahil! Sekiranya benar saksi telah dilatih atau wujudnya pakatan, kenapakah anggota-anggota PAC (dari BN dan pembangkang) sebulat suara telah bersetuju meletakkan tanggungjawab kelemahan pengurusan 1MDB, di atas bahu pihak pengurusan syarikat yang mana bekas ketua pegawai eksekutif Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi merupakan sebahagian daripadanya?

“Apa-apa pun, kes ini masih berlangsung di mahkamah dan kita harus menunggu soalan balas terhadap saksi tersebut sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.