Pujian Tun M Terhadap Projek Battersea Bukti BN Perintah Negara Dengan Baik


KUALA LUMPUR, 2 Okt – Pengerusi Persatuan Kebajikan Warga Felda Malaysia (PEMBELA) Anuar Abd Manap berkata, pujian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap projek Stesen Janakuasa Battersea milik Malaysia secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional (BN) telah mentadbir negara ini dengan baik.

Jelas beliau, jika kerajaan sekarang di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) meneliti satu persatu pelaburan yang pernah dibuat oleh BN dahulu, pastinya mereka akan dapat melihat dengan jelas bahawa BN telah mentadbir negara ini dengan begitu baik.

“Tetapi sayangnya mereka tidak akan nampak perkara baik yang BN lakukan kerana ia tertutup dengan segala fitnah dan penipuan.

“Kerajaan pimpinan PH sepatutnya bersyukur kerana BN meninggalkan kewangan yang baik kepada mereka tetapi sayangnya fitnah dilempar kononnya BN meninggalkan hutang satu trillion.

“Sekarang kita dapat lihat dengan jelas, BN sememangnya telah mentadbir negara dengan baik tetapi kerajaan PH pula rakus menjual satu demi satu aset yang berpotensi untuk terus menjana kewangan negara,” ujarnya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang kepada UMNO-ONLINE.

Dalam lawatan Tun Mahathir ke United Kingdom baru-baru ini, Pengerusi PH itu kagum dengan projek Stesen Janakuasa Battersea hingga berswafoto berlatarbelakangkan projek tersebut.

Mengulas lebih lanjut jelas Anuar, lihat sahaja bagaimana kerajaan PH menjual aset Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM 19.9 bilion kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan serta penjualan aset Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Hotel Royale Chulan Bukit Bintang telah dijual kepada syarikat Singapura dengan harga yang agak rendah hanya RM197 juta walaupun hotel yang bertaraf empat bintang serta mempunyai 400 bilik itu berada di atas tanah hakmilik kekal dan terletak di kawasan tiga segi emas Kuala Lumpur.

Selain itu, PH turut menjual kepentingan tertentu di dalam CIMB, RM635 juta; kepentingan Khazanah dalam BDO UniBank RM360 juta; Infosys Limited RM284 juta dan Titan Industries Ltd kepentingan Khazanah dijual RM212 juta.

“Ini semua membuktikan betapa lemahnya pentadbiran PH. Mereka terlalu tergesa-gesa dalam urusniaga tanpa memikirkan risiko masa panjang.

“Alasan kononnya terpaksa jual untuk tampung hutang yang ditinggalkan BN kini tidak relevan lagi. Rakyat sudah boleh menilai… Jangan lupa, bangkai gajah tidak selamanya boleh ditutup,” bidas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.