Nik Nazmi Dibidas Gelapkan Fakta Prestasi, Nilai Saham Pelaburan LTAT Bawah PH Terburuk Dalam Sejarah


KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang sekalipun tidak pernah mengakui bahawa prestasi syarikat terbesar yang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melabur di dalamnya iaitu Boustead Holdings Berhad mengalami kejatuhan nilai saham terburuk dalam sejarah di era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, perkara sedemikian tidak pernah berlaku di zaman Barisan Nasional (BN).

“Beliau (Nik Nazmi) gelapkan fakta bahawa penentuan nilai dividen amat bergantung kepada prestasi syarikat ini.

“Jadi amat jelas, apabila nilai saham syarikat ini susut, maka dividen juga susut sehingga serendah 2%.

“Ini bukan salah PH ke? Soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa dalam satu catatan di Facebook semalam tetap mempertahankan dividen LTAT bagi tahun kewangan 2018 hanya 2 peratus akibat salah urus dan dakwaan penyelewengan sejak bertahun-tahun lamanya.

Seterusnya, Hishammuddin menggesa Nik Nazmi dan kerajaan PH agar jangan bersikap tuding jari kepada kerajaan terdahulu atas kegagalan mereka sendiri.

“Akuilah kesilapan dan terimalah hakikat bahawa kerajaan PH telah gagal mengurustadbir negara termasuklah dalam menerajui Kementerian Pertahanan Malaysia.

“Jangan asyik cari alasan untuk lepas tangan,” bidasnya lagi

Bekas Menteri Pertahanan itu juga hairan melihat sikap Nik Nazmi yang tergamak mempersoalkan usaha LTAT bagi tahun-tahun sebelum ini membayar dividen lebih kepada pencarum.

“Pencarum ni bukannya golongan biasa-biasa, tetapi perwira yang sanggup berkorban nyawa demi negara. Jadi apa salahnya jika kita cari jalan untuk pastikan nilai dividen konsisten setiap tahun demi kebajikan mereka.

“Malah bukan dividen sahaja, LTAT juga berusaha keras untuk bantu Kementerian Pertahanan membela kebajikan pencarum.

“Ini termasuklah – beli dan bina rumah pertama, bantu ringankan beban anggota yang kurang bernasib baik, beri biasiswa pendidikan serta pelbagai lagi bentuk bantuan,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.