Dividen 2% : Kegagalan PH Rugikan Ahli LTAT – Ismail Sabri

BERITA semalam dalam sejarah Malaysia, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan dividen pembahagian paling rendah iaitu sebanyak 2% untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018.

Yang hairannya kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini ibarat lempar batu sembunyi tangan.

Sudah terang benderang mereka ini gagal serba serbi tapi masih mahu tunjuk pandai dalam bab-bab ekonomi, tanpa segan silu, masih lagi mahu memperbodohkan orang ramai dengan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam perkara ini.

Siapa lagi yang masih percaya? Sudahlah manifesto hanya untuk umpan undi, hari ini satu persatu aset kerajaan dijarah oleh mereka.

Bermula dengan Khazanah Nasional Berhad, sebuah syarikat kerajaan yang menguntungkan, setelah PH menguasai kerajaan, tindakan menjual aset dan pelaburan berlaku sejak mula dan sehingga kini tiada nampak pengakhirannya.

Tabung Haji yang dulunya mengagih hibah lebih dari 6%, tahun lepas hanya mengagihkan hibah sebanyak 1.25% sahaja.

Berbanding dengan kerajaan BN dahulu pada tahun 2009 – 2017, dividen LTAT dibahagikan dalam lingkungan maksimum 16% iaitu pada tahun 2012 dan 2013 manakala paling minumum adalah 12% iaitu pada tahun 2015 dan 2016.

Manakala bagi tahun 2017 pula dividen dibahagikan sebanyak 12.5%.

Yang hairannya Boustead Holdings yang merupakan aset terbesar LTAT telah menjual Hotel Royal Chulan di Bukit Bintang kepada syarikat Singapura.

Kemana perginya wang jualan tersebut? Tidakkah jualan tersebut untuk menambah pendapatan yang sepatutnya dipulangkan kepada ahli LTAT melalui dividen yang tinggi?

Purata pembahagian dividen LTAT semasa pentadbiran kerajaan BN menunjukkan bahawa kerajaan BN bijak menguruskan kewangan LTAT dengan baik sehingga dividen dapat diagih pada kadar tinggi tanpa menimbulkan sedikit pun kelemahan dalam pengagihan dividen.

Saya percaya, hari ini anggota tentera/pesara amat terkilan dan sedih dengan berita ini setelah beberapa kali anggota tentera kita diasak dengan pelbagai isu, sehingga khidmat mereka menjaga keselamatan negara dinafikan oleh Taikun Dap, Koon Yew Yin dengan mengatakan bahawa “askar hanya makan tidur sahaja”.

Taikun Dap ini juga bertindak menggesa kerajaan PH untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan terlalu besar yang dilaporkan dalam Air Times News Network.

Namun pada hari ini dividen anggota tentera/pesara LTAT pula diagihkan dengan nilai peratusan paling rendah dalam sejarah setelah kerajaan PH mentadbir.

Apa makna semua ini setelah anggota tentera/pesara kita menabur jasa dan khidmat mereka menjaga keselamatan negara sepanjang hidup mereka namun pada akhirnya, mereka cuma layak menerima dividen sebanyak 2% berbanding sebelumnya ?

Agihan dividen yang rendah ini bukan seperti apa yang mereka harapkan.

Kejatuhan nilai saham dua aset terbesar LTAT iaitu Boustead Holdings dan Affin Bank yang paling teruk dalam sejarah bukan salah kerajaan BN dan bukan juga salah rakyat mahupun anggota tentera/pesara.

Ia adalah salah kerajaan PH yang tak pandai menguruskan aset negara!

Secara jelasnya, kerajaan PH sudah tidak layak menerima sokongan dari anggota tentera/pesara lagi setelah kebajikan anggota tentera/pesara dipandang enteng oleh kerajaan PH.

Rakyat cuma mampu berharap tetapi adakah kerajaan PH yang dikuasai oleh Dap ini akan berhenti menjual aset-aset negara?

Adakah mereka akan meneruskan kepincangan mereka mentadbir negara?

Saya berharap agar Permodalan Nasional Berhad tidak menerima ‘nasib’ yang sama seperti Khazanah Nasional Berhad dan Tabung Haji. Kita tunggu nasib Amanah Saham Bumiputera (ASB). Berapakah dividennya nanti? – UMNO ONLINE

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ketua Pembangkang / Naib Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.