UMNO Perak Desak Nga Kor Ming Lapor Polis, SKMM Buktikan ‘Kesuciannya’


IPOH, 1 Okt – UMNO Perak menggesa Pengerusi Dap Perak, Nga Kor Ming segera membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

Ujar Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad, Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu juga seharusnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendedahkan siapakah pemilik laman Facebook yang dikaitkan dengannya.

“Ini bukanlah kali pertama laman Facebook berkenaan membuat kenyataan kontroversi dan menimbulkan elemen kebencian.

“Serta ini bukanlah kali pertama, laman berkenaan mengaitkan Nga. Oleh itu satu tindakan tegas hendaklah diambil.

“Nga sering menampakkan dirinya sebagai ‘mangsa’ fitnah serta tipudaya, oleh itu Timbalan Speaker Dewan itu mesti membuktikan ‘kesucian’ beliau,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Saarani yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata demikian mengulas mengenai tindakan Nga yang melatah mengenai isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan yang dikongsi oleh laman Facebook yang dikatakan mempunyai kaitan dengannya, Nga Kor Ming Super Fans Page 倪可敏超级粉丝俱乐部.

Setelah mendapat ribuan kecaman dan menjadi tular, ‘posting’ berkenaan di page Nga Kor Ming Super Fans telah dipadam.

UMNO Perak juga kata Saarani mengecam semua perbuatan fitnah seperti yang pernah dilakukan terhadap UMNO serta Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.