SPR PH Teruskan Budaya Berat Sebelah… Bersama Hukum PH Di Tanjung Piai – Annuar


KUALA LUMPUR, 1 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) era kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan budaya berat sebelah dalam tugas mereka yang sepatutnya neutral.

Ini kerana katanya, SPR sengaja memilih untuk menetapkan tarikh mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 12 November dan 16 November untuk hari mengundi biasa ketika mana UMNO sedang mengadakan Perhimpunan Agung tahunannya pada 13 hingga 16 November.

“Mereka mengharapkan dengan cara demikian ia menjadikan satu ‘disadvantage’ besar kepada UMNO, dan secara tak langsung SPR cuba membantu Pakatan Harapan khususnya Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) memenangi semula kerusi Parlimen Tanjung Piai.

“Tindakan ini menguatkan lagi bukti bahawa pemerintah akan terus bertindak menyalahgunakan setiap jentera kerajaan yang ada pada mereka untuk kekal berkuasa dan menghalang kebangkitan rakyat,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, dalam beberapa siri PRK sebelum ini, banyak perkara yang dilakukan oleh kerajaan PH ketika tempoh berkempen menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tetapi tidak diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa dan SPR.

Justeru tegas Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, barisan pembangkang tetap berjuang bersama rakyat menolak kerajaan PH.

“Barisan Pembangkang ingin menegaskan walau apa pun halangan dan rintangan, kami tetap bersama rakyat untuk berjuang menolak segala penipuan, pembohongan serta kegagalan sebuah kerajaan.

“Setiap pilihan raya akan rakyat gunakan untuk menewaskan parti kerajaan walau SPR dan lain-lain cuba bersekongkol dengan pemerintah dengan pelbagai cara,” tambahnya lagi.

Isu tersebut juga ujar Annuar akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan parti untuk diperbincangkan dan tidak akan membiarkan PH secara mudah mahu mengikat kaki dan tangan pembangkang demi mencari kemenangan.

“UMNO akan meletakkan keutamaan yang tinggi dalam membawa suara dan aspirasi rakyat, terutamanya PRK Parlimen Tanjung Piai ini.

“Kami berazam untuk bangkit bersama rakyat berbagai bangsa untuk menewaskan PH, di kawasan yang mereka wakili, khususnya Tanjung Piai.

“Ini peluang keemasan bagi kita rakyat membuktikan kuasa rakyat yang sebenar… Ayuh, bersama kita hukum PH di Tanjung Piai,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.