PRK Tanjung Piai: 16 Nov Hari Pengundian, 2 Nov Penamaan Calon – SPR
PUTRAJAYA, 1 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.165 Tanjung Piai pada 16 November, Sabtu.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun juga berkata penamaan calon akan diadakan pada 2 November, Sabtu manakala undi awal ditetapkan pada 12 November, Selasa.
“Tempoh berkempen adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga pukul 11.59 malam 15 November 2019.
“Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan adalah seperti berikut; tarikh buka 1 Oktober, hari ini, Selasa dan tarikh tutup pula ialah 31 Oktober, Khamis,” ujarnya dalam sidang media PRK tersebut di Ibu Pejabat SPR, di sini hari ini.
Jelasnya lagi, SPR akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.
Berhubung dengan borang penamaan calon, Azhar berkata ia boleh dibeli mulai 8 Oktober di Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, di Pejabat Daerah Pontian atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor atau di Ibu Pejabat SPR Putrajaya.
“Untuk memudahkan proses penamaan calon, saya menggesa bakal-bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi dan membuat semakan awal borang tersebut dengan pegawai pihak pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Johor sebelum hari penamaan calon.
“Proses semakan awal ini boleh dibuat mulai 28 Oktober. Selain itu, bakal-bakal calon dinasihati membuat pembayaran deposit lebih awal. Ini bagi memastikan semua proses penamaan pada hari penamaan dapat diselesaikan lebih awal dan lebih lancar,” tambahnya.
Bagi melancarkan PRK Parlimen Tanjung Piai, menurut Azhar, seramai 1,019 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK manakala sebanyak 28 buah pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 127 saluran akan digunakan untuk kemudahan pengundi serta kos perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM2.67 juta.
Daftar Pemilih yang akan digunakan adalah sehingga suku tahun kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September, katanya lagi.
“Daftar pemilih tersebut mengandungi 52,986 orang pengundi yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan 8 orang pengundi tidak hadir (luar negara).
“Daftar pemilih tersebut mula dijual pada 16 Oktober,” ujarnya.
SPR juga katanya akan menghantar kad pengundi kepada semua pengundi yang akan mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh dan masa pengundian.
Tempoh masa pengundian dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang berbanding jam 5.00 petang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu di mana SPR mensasarkan 70 peratus keluar mengundi bagi PRK tersebut.
Seterusnya kata Azizan, SPR juga menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap pusat mengundi manakala pengundi orang kelainan upaya (OKU) seramai 981 yang dikenal pasti berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malayia mengundi di saluran 1. – UMNO ONLINE