“Pandai Sungguh SPR Memilih Tarikh…” Ada Niat Tertentu? Sinis Dr Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 1 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pengumuman Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berkaitan tarikh tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai nampaknya semacam disusun dengan niat tertentu.

Tegasnya, sama ada secara kebetulan atau tidak, UMNO dan MCA masing-masing mengadakan Perhimpunan Agung pada tarikh berkenaan.

“Jadi pandai sungguh SPR memilih tarikh.

“Penamaan calon disusun sama tarikh Perhimpunan Agung MCA yang dijadualkan pada 2 hingga 3 Nov 2019.

“Hari mengundi ketika Perhimpunan Agung UMNO berlangsung pada 13 hingga 16 Nov 2019,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini mengumumkan tarikh pengundian bagi PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November dan hari penamaan calon pada 2 November.

Manakala undi awal pada 12 November.

Mengulas lanjut, Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata tanpa menuduh, tindakan SPR itu seolah-olah kelihatan lebih memberi keutamaan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghadapi PRK tersebut.

“Bukan menuduh, cuma nampak SPR semacam sudah mula ingin membantu kerajaan PH di PRK Tanjung Piai. Apapun kita yakin SPR mampu bersikap adil.

“Bagi UMNO dan Barisan Nasional biar apapun cabaran UMNO akan tetap berjuang. Bersama PAS dan rakan-rakan parti yang lain kita akan rampas semula kerusi Tanjung Piai,” tekadnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.