Dr Asyraf Desak Mujahid Yang Patut Mohon Maaf, Rakyat Perlukan Penjelasan

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menuntut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang seharusnya memohon maaf kepadanya secara terbuka dalam tempoh seminggu bermula hari ini.

Dr Asyraf juga mendesak Naib Presiden Parti Amanah Negara (Pan) itu menarik balik dakwaannya bahawa beliau dengan sengaja mahu meruntuhkan institusi Tabung Haji (TH) dengan mengibaratkan, “marahkan nyamuk, satu kelambu dibakar”.

Dr Asyraf memberi reaksi demikian mengulas kenyataan Dr Mujahid yang memintanya memohon maaf secara terbuka kerana kononnya telah membuat dakwaan tidak betul dalam isu penjualan ekuiti TH bernilai RM2.6 bilion.

“Ingin ditegaskan kenyataan saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kelmarin tidakpun membuat apa-apa tuduhan ataupun dakwaan fitnah!

“Sebaliknya Pemuda UMNO mendesak YB Menteri untuk segera memberikan penjelasan mengenai berita penjualan ekuiti tersebut yang sudah dilaporkan meluas di muka hadapan Utusan Malaysia pada 30 September 2019 dan portal ekonomi terkemuka The Malaysian Reserve pada 27 September 2019.

“Malah penjelasan serupa oleh Pemuda UMNO turut dituntut oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan di Facebook beliau, bahkan daripada Penganalisis Ekonomi Putra Business School Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob sebagaimana yang disiarkan di Muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 30 September 2019,” tegasnya menerusi satu kenyataan di sini malam tadi.

Mengulas lanjut Dr Asyraf berkata desakan menuntut penjelasan segera daripada menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal TH itu adalah penting bagi memastikan keyakinan para pendeposit tidak terjejas.

“Sebagai menteri seharusnya YB Dr Mujahid menerima gesaan dengan hati terbuka dan berjiwa besar bukannya melatah dengan membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan melulu,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.