Cubaan Susahkan Pembangkang, Rakyat Pasti Akan Tolak PH Sekali Lagi – Zahida

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Walaupun diberi tekanan awal, ia tidak mematahkan semangat ahli serta pendukung parti khususnya Puteri UMNO untuk ‘all out’ di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, tegas Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

“Sudah dijangka, mereka akan gunakan kuasa yang ada untuk menyusahkan pembangkang,” bidasnya dalan satu hantaran di Facebook.

Zahida memberi reaksi demikian mengulas mengenai tarikh PRK Tanjung Piai yang sama dengan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini mengumumkan tarikh pengundian bagi PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November dan hari penamaan calon pada 2 November.

Manakala persidangan parti terbesar orang Melayu, Perhimpunan Agung UMNO pula diadakan pada 13 hingga 16 November.

Seterusnya kata Zahida, PRK Tanjung Piai juga mampu menjadi bukti penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ternyata gagal, bukan sahaja di dalam menunaikan janji manifesto malah gagal mengurus tadbir negara dengan baik.

“Ini sekali lagi peluang kepada rakyat berikan isyarat penolakan terhadap kerajaan memerintah hari ini.

“Insya-Allah kita akan rampas semula P.165 Tanjung Piai daripada Pakatan Harapan, pakatan #KerajaanSepenggal,” tegasnya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.