Tabung Haji Jual RM2.6B Ekuiti: Mujahid Mesti Segera Beri Penjelasan – Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR, 30 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa segera memberi penjelasan berkenaan penjualan aset-aset strategik Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.
Bidas Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, penjualan keseluruhan saham TH dalam TNB adalah amat mengejutkan kerana syarikat utiliti tenaga elektrik negara itu bukanlah syarikat bermasalah bahkan salah sebuah syarikat paling stabil dari segi keuntungannya setiap tahun.
“Malah saham TNB sentiasa membayar dividen yang tinggi kepada TH setiap tahun.
“Lebih pelik apabila dijual ketika harga saham TNB adalah rendah kerana Bursa Malaysia berkedudulan tercorot berbanding bursa-bursa negara seantero dunia yang lain,” tegasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Justeru katanya, Pemuda UMNO sekali lagi mendesak menteri yang menjaga semua agama itu memberikan penjelasan segera sebelum makin ramai pendeposit hilang kepercayaan kepada TH.
“Sehubungan dengan ini juga Pemuda UMNO inginkan kepastian apakah benar wang pendeposit dalam TH juga merosot teruk daripada RM74 bilion kepada RM69 bilion sahaja ketika ini? Soalnya lagi.
Akhir sekali, sarana Pemuda UMNO agar Naib Presiden Parti Amanah Negara (Pan) untuk kembali fokus kepada tugas hakiki dan jangan hanya sibuk menyerang pembangkang dengan pelbagai kenyataan pelik-pelik mengenai penyatuan ummah dan muafakat nasional, gesanya. – UMNO ONLINE