PRK Tanjung Piai: Ambil Kira Semua Aspek, Peluang Menang Cerah – Hasni


JOHOR BAHRU, 30 Sept – UMNO Johor melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan penuh kesungguhan dan meneliti dalam semua aspek, ujar Pengerusinya Datuk Ir Hasni Mohammad.

Atas dasar tersebut katanya, peluang bagi Barisan Nasional (BN) adalah amat cerah.

“Kita telah melihat kepada soal Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai ini dengan satu kesungguhan dan meneliti semua aspek. Kita mengambil kira dari segi keadaan semasa, pertimbangan-pertimbangan yang kita kira wajar untuk diambil kira.

“Maka atas dasar tersebut, badan perhubungan berpendapat bahawa peluang untuk kita menang amat cerah, peluang untuk berjaya dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai ini adalah baik dan harus kita rebut,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Tambah Ir Hasni, UMNO dan BN kini dalam proses mempertingkatkan usaha bagi kemenangan berpihak kepada parti.

“Maka itu kita bersetuju bahawa kita perlu mengambil kira semua aspek dan kita masih ada masa untuk meningkatkan lagi peluang untuk kita menang di Tanjung Piai ini.

“Maka pada hari ini kita tidak perlu memutuskan siapakah calon, parti mana yang patut bertanding kerana dengan peluang dan juga pertimbangan dan pandangan daripada barisan kepimpinan negeri Johor ini telah meningkatkan keyakinan kita.

“Kita harus gunakan peluang itu sepenuhnya sebelum kita mengambil sebarang keputusan dan dengan ini mesyuarat telah beri saya mandat sepenuhnya untuk mengambil langkah-langkah yang seterusnya sebagai strategi yang baik kepada Barisan Nasional dan juga UMNO di Johor,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu lagi.

Jelasnya lagi, urusan calon dan persiapan parti akan dimaklumkan selepas pengumuman tarikh PRK tersebut diputuskan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dan saya amat yakin dan percaya bahawa segala bentuk keputusan InsyaAllah akan kita buat sebaik sahaja pengumuman oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya berkenaan tarikh bila pilihan raya akan diadakan sebagai contoh penamaan calon ditetapkan.

“Maka kita akan lebih bersedia untuk mengemukakan keputusan yang terbaik sama ada dari segi calon mahupun persiapan kita untuk menghadapi pilihan raya kecil pada masa yang akan ditetapkan.

“Saya boleh katakan UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri semuanya telah bersedia termasuklah rakan-rakan komponen MCA, MIC juga telah bersedia,” katanya.

Berhubung dengan Konvensyen UMNO Negeri Johor yang akan diadakan pada 5 Oktober nanti Ir Hasni berkata UMNO akan mengemukakan satu deklarasi Tanjung Piai sempena dengan PRK.

Begitu juga deklarasi yang akan menyentuh soal usaha-usaha parti, meminda perlembagaan, menjayakan Muafakat Nasional dan merangka strategi khususnya bagi PRK, tambahnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.