Konvensyen UMNO Peluang Ahli Lontar Idea Mantapkan Parti – Dr Shamsul Anuar

KANGAR, 29 Sept – Segala resolusi yang dicapai pada konvensyen UMNO negeri tidak akan terhenti diperingkat negeri semata-mata sebaliknya akan diberi perhatian dan diambil tindakan oleh pucuk pimpinan parti.

Ketua Penerangaan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata apa jua cadangan dan lontaran pandangan yang dikemukakan oleh akar umbi dan seterusnya dijadikan resolusi oleh UMNO negeri adalah bertujuan untuk memperkukuhkan parti.

“Apa juga perkara yang diputuskan diperingkat konvensyen ini akan diangkat ke peringkat pusat, kita melihat dan tidaklah apa jua isu-isu yang dibangkitkan terhenti diperingkat negeri sahaja… ianya diberi perhatian dan diambil tindakan oleh pucuk pimpinan.

“Saya melihat setakat hari ini  konvensyen berjalan dengan baik dan menepati sepertimana yang kita tetapkan. Diperingkat pusat kita tetapkan untuk membincangkan beberapa perkara dalam usaha mantapkan parti dan juga perkara-perkara berkaitan perlembagaan parti dan sebagainya.

“Saya lihat apa yang dibincangkan semuanya menjurus ke arah untuk memperkukuhkan parti dan ini baik kepada kita, insya-Allah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau turut bersama di dalam Konvensyen UMNO Perlis yang diadakan di Dewan Wawasan, Kangar yang dirasmikan majlis penutupnya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man serta pimpinan UMNO lain.

Shamsul Anuar seterusnya menambah Perlis merupakan negeri kedua selepas Sabah mengadakan konvensyen UMNO peringkat negeri dan maklum balas yang diterima cukup baik.

“Perlis merupakan negeri kedua yang mengadakan konvensyen UMNO selepas Sabah dan menepati sepertimana yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan parti supaya negeri-negeri melaksanakan konvensyen untuk membolehkan kita berbincang perkara-perkara dalam usaha mengukuhkan parti.

“Kita lihat dan mendengar maklum balas pimpinan di akar umbi, memang amalan ini mesti kita teruskan setiap masa. Rata-rata mereka mengharapkan konvensyen ini diteruskan supaya banyak perkara boleh dibincangkan diperingkat akar umbi dan saya percaya dengan adanya buah fikiran dan pandangan-pandangan daripada bawah ia boleh digunapakai oleh pimpinan parti dalam usaha untuk mengukuhkan UMNO,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.