PRK Tanjung Piai: Mandat Dewan Tertinggi BN Akan Tentukan Parti, Calon Yang Bertanding – Mohamad
PASIR MAS, 28 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti komponen dan calon yang mewakili BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai masih belum diputuskan.
Ujarnya, Dewan Tertinggi BN masih belum bermesyuarat mengenai perkara tersebut.
“Parti pun belum bermesyuarat. Kita pun sedang menjalankan kaji selidik di lapangan.
“Bila siap nanti kita akan bentangkan dan akan membuat mesyuarat di peringkat parti dan akhirnya nanti mesyuarat kerja tertinggi BN akan menentukan parti mana yang akan diberikan mandat untuk mencalonkan calon di dalam PRK Tanjong Piai.
“Buat masa sekarang belum ada (calon),” katanya kepada media selepas Ceramah Perdana Hijratul Rasul Dan Penyatuan Ummah Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Pasir Mas, malam tadi.
Tambah Timbalan Presiden UMNO itu juga, perbincangan mengenai PRK Tanjung Piai turut melibatkan kerjasama dan muafakat bersama PAS, manakala Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya menyerahkan urusan calon kepada BN.
“Parti telah buat keputusan bahawa kita serah kepada BN dan PAS akan mendukung apa sahaja keputusan yang dibuat oleh BN siapa sebagai calon.
“Kita sudah bersetuju beri laluan kepada BN, soal siapa calon PAS akan bantu (kempen), Insya-Allah,” ujarnya.
PRK Tanjung Piai akan diadakan berikutan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Dalam perkembangan yang lain, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menjelaskan mengenai cadangan di dalam ceramahnya agar ditiadakan jawatan Ketua Pembangkang di peringkat DUN Kelantan.
“Itu cadangan saya supaya ia akan dapat menggambarkan kemuafakatan tersebut.
“Kalau kita dah muafakat tiada lagilah pembangkang, tapi setakat itulah cadangan saya,” jelasnya.
Manakala kerjasama dan muafakat dari segi pentadbiran, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata beliau senada dengan Tuan Ibrahim yang disebut dalam ceramahnya, bahawa kerjasama UMNO dan PAS masih lagi di peringkat permulaan, diumpamakan baru membaca surah Al-fatihah yang perlu dilancarkan sebelum beralih ke surah-surah yang lain.
“Ini peringkat kita baru menandatangani piagam. Kemudian nanti kita akan melihat cara yang lebih mantap apa selepas ini perlu kita buat.
“Itu sebab saya kata salah satu saya cadangkan tadi supaya kita tidak ada lagi pembangkang. Itu di Kelantan… maknanya di Pahang pun PAS tidak jadi pembangkang tapi kita tidak bercakap soal jawatan… tapi supaya jangan jadi pembangkang.
“Jadi, senang nanti nak berurusan wakil rakyat daripada BN di Kelantan ataupun PAS di Pahang mereka akan jadi sebagai wakil rakyat kerajaan muafakat. Mereka akan dapat menjalankan tugas dan menjaga hal ehwal rakyat sama seperti rakan-rakan yang lain, Insya-Allah. Ini (untuk) kebaikan rakyat,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE