Muafakat Nasional Turun Padang, Kedah Realisasikan Sokongan

ALOR STAR, 28 Sept – Kedah menjadi negeri pertama Muafakat Nasional apabila UMNO dan PAS negeri itu menganjurkan Persidangan Muafakat Nasional yang dihadiri pimpinan parti pelbagai peringkat.

Piagam Muafakat Nasional yang sebelum ini ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencatat sejarah tersendiri antara kedua-dua parti dan kini mula bergerak ke seluruh negara.

Persidangan Muafakat Nasional Kedah dimulakan dengan ucapan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ust Ahmad Yahya dan kemudiannya Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah mengambil tempat.

Kemudiannya Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid membentangkan piagam Taawun Siyasi selain perbahasan daripada wakil kedua-dua parti.

Acara kemuncak presiden kedua-dua parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan masing-masing dan apa yang pasti suasana Persidangan Muafakat Nasional Kedah mencatat sejarah yang cukup bermakna kepada negeri Kedah.

Perkarangan di Dewan TH Hotel dilimpahi pendokong serta penyokong dan pelbagai pimpinan kedua-dua parti yang ingin melihat dan menyaksikan secara dekat persidangan tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.