Muafakat Nasional Pendekatan Holistik, Yakin Akan Dapat Diterjemahkan – Zahid

ALOR STAR, 28 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dan percaya kesepakatan yang wujud menerusi Muafakat Nasional antara parti itu dan PAS bukan hanya akan dapat diterjemahkan kepada empat negeri sedia ada hari ini yang diperintah oleh kedua-dua pari berkenaan malah akan terus meluas.

Menurut beliau kerjasama berkenaan yang holistik harus dilihat bukan hanya semata-mata kerjasama politik malah ianya juga merupakan perpaduan berlandaskan akidah, keimanan serta keikhlasan sepertimana yang dinyatakan sebelum ini.

“Tunggulah apabila tiba masanya saya yakin kesepakatan ini akan diterjemahkan bukan hanya kepada empat negeri berkenaan tetapi kepada negeri-negeri lain yang berpotensi termasuk Kedah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Mukhriz Mahathir berkata perpaduan ummah yang didukung UMNO dan PAS bukan sahaja bersifat politik malah untuk menyelamatkan pemimpin tertentu.

Zahid seterusnya menegaskan Muafakat Nasional adalah untuk menyelamatkan umat Islam, Melayu dan seluruh rakyat di negara ini pelbagai keturunan dan pelbagai kaum .

“Alhamdulillah… kalau dia (Mukhriz) tidak gusar tetapi terimalah apabila ianya diterjemahkan kerana kuasa sebenar ialah kuasa rakyat dan mahkamah rakyat akan menentukan,” ujarnya.

Terdahulu sebelum itu, beliau berucap pada konvensyen Muafakat Nasional yang menampilkan pembentangan piagam muafakat peringkat negeri Kedah.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan ucapan dan konvensyen berkenaan padat dengan pelbagai pengisian termasuk pembentangan dan ucapan daripada wakil kedua-dua parti.

Terdahulu sebelum itu, dalam ucapannya Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyifatkan Muafakat Nasional peringkat negeri Kedah cukup unik kerana berbeza dengan negeri-negeri lain.

Menurut beliau UMNO negeri-negeri lain mengadakan konvensyen namun Kedah ada kelainan apabila satu-satunya negeri yang menganjurkan persidangan Muafakat Nasional dan ini memperlihatkan Kedah berada satu langkah ke depan untuk menterjemahkan Muafakat Nasional.

“Muafakat Nasional adalah terjemahan kepada penyatuan ummah dan jalan damai yang dipilih itu bukan hanya menggarap apa yang berlaku di zaman silam tetapi untuk masa depan bersama. Di dalam piagam jelas biarpun kita membela Islam dan Melayu, agama lain dan bangsa lain tidak akan terpinggir. Ini turut dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

“Tawaran baru yang akan kita keluarkan, kesedaran yang wujud dikalangan rakyat akar umbi selain komitmen pelbagai peringkat insya Allah. Apabila kita mempunyai kesedaran maka tentunya apa yang telah dibentangkan oleh pimpina UMNO dan pimpinan PAS Kedah memperlihatkan ‘new deal’ dan kombinasi serta wawasan yang ada memperlihatkan kebersamaan ini makin jelas,” katanya.

Katanya lagi faktor-faktor terdahulu telah ditinggalkan dan apabila berlaku perpecahan maka yang rugi adalah kumpulan yang majoriti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.