Cerita Malam Raya Gamatkan Suasana Persidangan Muafakat Nasional Kedah

ALOR SETAR, 28 Sept – Cerita sambutan malam raya menggamatkan suasana Persidangan Muafakat Nasional peringkat negeri Kedah apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid membawa kisah tersebut dalam usaha merujuk kepada prinsip kerjasama di akar umbi antara UMNO dan juga PAS yang telah bertaut sebelum tandatangan Piagam Kerjasama 14 September lalu.

Menurut beliau jika sebelum ini UMNO dan PAS masing-masing mengadakan sambutan raya yang sama dan hari yang sama cumanya tempat sahaja berbeza, namun suasana itu telah berubah apabila muafakat kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan terjalin.

“Saya pergi ke satu kawasan Felda saya tanya ketua Cawangan UMNO dan Ketua Cawangan PAS, malam raya ni datang semua ka… lalu mereka mengatakan semua turun kecuali lima buah rumah sahaja yang tidak datang bersama.

“Tiga masuk Parti Amanah Negara (PAN), manakala dua lagi masuk Parti Pribumi Bersatu ( Bersatu). Bayangkan Felda tersebut mempunyai 280 buah rumah datang semua kecuali lima buah rumah yang berkenaan.

“Yang dulu-dulu UMNO buat raya… PAS pun buat raya. Datang separuh-separuh. Orang UMNO datang majlis UMNO dan begitulah sebaliknya. Buat malam yang sama… lalu je lah kawasan berkenaan. Tetapi hari ini takdir Allah kita boleh duduk bersama dan datang bersama kecuali yang lima buah rumah tadilah, ini belum tandatangan piagam lagi. Perkara kerjasama dan prinsip-prinsip persefahaman dah berlaku, Alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Piagam Muafakat Nasional peringkat negeri Kedah di Dewan Utama TH Hotel, di sini, hari ini.

Mahdzir seterusnya menambah apa yang berlaku hari ini ialah landskap politik baru yang tidak pernah dimimpikan oleh UMNO mahupun PAS bahawa satu masa akan ada kerjasama muafakat seumpama ini.

“Muafakat ini adalah satu rahmat, satu kurniaan daripada Allah swt kepada semua manusia. Kerjasama dan perpaduan yang kita bina ini hendaklah datang daripada hati yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk membina penyatuan ini dan kita perlu bekerja bersungguh-sungguh untuk tentukan kejayaan kita,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapannya berkata 14 September lalu mengharapkan persidangan Muafakat Nasional peringkat negeri Kedah akan mengukuhkan lagi persaudaraan khususnya daripada dua buah parti besar UMNO dan PAS serta NGO yang turut bersama.

Menurut beliau kesinambungan Himpunan Penyatuan Ummah atau HPU914 pada 14 September lalu, termeterailah Muafakat Nasional antara dua parti terbesar iaitu UMNO dan PAS.

“14 September juga telah menyaksikan suatu catatan sejarah yang menamatkan sengketa politik yang gelap, kelam, berduri dan penuh menyakitkan sekian lama dan juga kebencian sesama umat Islam. 14 September menyaksikan wajah-wajah girang dengan hati penuh kesyukuran disamping deraian mata yang hadir di Dewan Merdeka PWTC.

“Namun ada juga yang mahu sengketa ini dipanjangkan, permusuhan juga diteruskan, tali silaturahim terus dikusutkan. Perancangan ilahi… kamu merancang Allah swt juga merancang, hari ini sejarah di Dewan TH kita sama-sama berhimpun menghadam erti tanggungjawab Muafakat Nasional yang mana harus diadaptasikan dan dilaksanakan di Kedah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.