Anwar Perlu Panggil AG Mengadap Jawatankuasa Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus – Noraini

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, Jawatankuasa Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memanggil Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bagi memberi penjelasan berkaitan dakwaan salah guna kuasa di dalam kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Jelas beliau, memandangkan Parlimen bakal bersidang bermula 7 Oktober ini maka penjelasan berkaitan kes ini perlu dibentangkan dalam Sidang Dewan.

“Jika semalam Wanita UMNO mendesak untuk Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pendirian terhadap Peguam Negara atas salah laku dalam mengurus kes kematian Allahyarham Adib, hari ini Wanita UMNO mendesak Anwar pula menyatakan pendirian dan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, beliau perlu memanggil Tommy untuk memberi penjelasan.

“Hasil soal selidik itu nanti, ia perlu dibentangkan ke dalam Sidang Dewan agar penjelasan tersebut akan tercatat dalam Hansard Parlimen, selain itu seluruh rakyat Malaysia juga bakal dapat penjelasan yang sewajarnya,” ujar beliau melalui satu kenyataan media.

Tambah Noraini, penjelasan itu nanti secara tidak langsung memberi ruang kepada Tommy bagi membersihkan namanya memandangkan kini banyak pihak yang merasakan beliau tidak layak menjawat jawatan sebagai Peguam Negara.

Semalam, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Allahyarham Adib akibat dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.

Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib berlangsung.

Allahyarham Adib, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.