Zahid Syukur Keadilan Untuk Adib Bersinar, Yakin PDRM Akan Siasat Yang Terbaik


KUALA LUMPUR, 27 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan penuh kesyukuran apa yang rakyat keseluruhannya perjuangkan selama ini sudah ada jawapannya.

Beliau juga yakin pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan yang terbaik bagi mendapatkan keadilan yang selayaknya buat pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum yang mengikuti kes ini, kita semua dan keluarga adib, telah dapat memperolehi satu suntikan semangat bahawa keadilan tertangguh untuk Adib (Allahyarham Muhammad Adib) yang diperjuangkan selama ini telah ternampak sinarnya,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Koroner berhubung inkues kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.

Mahkamah Koroner Shah Alam pagi tadi memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues itu selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib, 24, berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.