Tindakan Pramatang, AG Perlu Letak Jawatan Dan Minta Maaf Kepada Keluarga Adib

ALOR SETAR, 27 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah melahirkan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini yang memberi pembelaan terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Penerangan pergerakan tersebut, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, ekoran daripada ini, Peguam Negara Tommy Thomas perlu bertangggungjawab terhadap tindakan ‘premature’ beliau dalam kes ini dengan melepaskan jawatan dan mohon maaf kepada keluarga Muhammad Adib dan rakyat Malaysia.

“Keputusan itu bukan sahaja kemenangan buat keluarga Allahyarham Adib tetapi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menolak unsur keganasan.

“Syabas kepada Koroner Rofiah Mohamad yang berani membuat keputusan sukar. Daripada keputusan itu sekarang ini bebanan terletak kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak polis,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah beliau, pihak polis juga perlu mengambil teguran koroner dan memperbaiki SOP mereka sementara Jabatan Peguam Negara perlu mendakwa segera mereka yang terlibat supaya keadilan tidak tertangguh lagi.

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim akibat dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.

Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib berlangsung.

Mahkamah turut menyalahkan pihak FRU dan polis yang gagal mengawal rusuhan yang berlaku sebelum insiden Muhammad Adib. Membaca lanjut keputusan tersebut, Koroner Rofiah berkata, Allahyarham Muhammad Adib telah diheret keluar dari jenteranya.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.