Separuh Keadilan Kepada Adib Kini Tertegak

PULAU PINANG 27 Sept. – Badan Perhubungan UMNO negeri menyifatkan separuh keadilan kepada Muhammad Adib Mohd. Kassim kini tertegak ekoran keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang merumuskan kematian anggota bomba itu adalah akibat perbuatan jenayah dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, separuh lagi keadilan kini adalah untuk mencari dalang atau pelaku yang menyebabkan kematian Allahyarham ketika tragedi rusuhan kuil tersebut.

Sambil melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan inkues itu, beliau menambah, ia juga merupakan satu bentuk kebenaran yang akhirnya terbukti daripada tragedi malang yang menimpa anggota bomba berkenaan.

Paling utama, kata beliau, keputusan itu juga merupakan kelegaan besar dan menamatkan penantian yang memeritkan bukan hanya kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib malah seluruh rakyat.

“Sekalung pujian, tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses prosiding inkues Muhammad Adib yang berani menyatakan kebenaran sehingga memberikan keadilan sewajarnya kepada Allahyarham dan keluarganya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Musa berkata, pihaknya berharap tindakan seterusnya ekoran keputusan inkues tersebut iaitu membawa pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Muhammad Adib ke muka pengadilan dapat dilakukan segera.

Katanya, keadilan untuk Muhammad Adib dan keluarganya tidak akan tertegak sepenuhnya selagi penjenayah berkenaan tidak dikenakan hukuman sewajarnya mengikut lunas undang-undang sedi ada. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.