Rakyat Mahukan ‘Rule Of Law’ Ditegakkan, Tommy Thomas Mesti Dipecat – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Keputusan Mahkamah Koroner berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mendapat reaksi positif dan penuh kesyukuran daripada rakyat negara ini.

Walaupun begitu, menurut Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, mereka yang bertanggungjawab mesti dihukum setimpal dengan kesalahannya.

Tambahnya, paling penting ramai rakyat Malaysia yang inginkan ‘Rule of law’ ditegak serta dipelihara dalam negara ini mahu supaya Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan.

“Oleh itu, kita desak Peguam Negara dipecat. Beliau mesti meletak jawatan.

“Kredibiliti beliau tercalar. Tommy Thomas tidak layak mengetuai Jabatan Peguam Negara,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Mahkamah Koroner Shah Alam pagi tadi memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues itu selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib, 24, berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya berkata akhirnya haq (kebenaran) mengatasi yang bathil (pembohongan).

“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai rekod cemerlang selama ini akan menjalankan siasatan menyeluruh.

“Mencari serta membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.