PH Tak Ubah Seperti Pemerintahan Diktator, Henti Ugut Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris melihat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin hari tidak tidak menghormati prinsip demokrasi yang diamalkan di Malaysia apabila terbaharu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbirannya telah mengenal pasti penjawat awam yang menyokong pembangkang.

Soalnya, di manakah prinsip demokrasi yang selama ini didukung oleh PH sedangkan rakyat termasuklah penjawat awam bebas untuk menyokong mana-mana parti politik kerana itu adalah hak berpolitik setiap individu di negara ini.

“Tambahan, beliau juga memberi amaran kepada semua penjawat awam supaya tidak melibatkan diri dan bergerak aktif dalam aktiviti parti pembangkang termasuk menghadiri Perhimpunan Muafakat Nasional di PWTC,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Tegasnya, realiti politik hari ini mengambarkan kerajaan PH tidak ubah seperti pemerintahan diktator dengan sering mengugut, menekan dan menzalimi rakyat termasuklah penjawat awam.

“Semasa era pemerintahan Barisan Nasional (BN), terdapat ramai penjawat awam yang menyokong PH kerana terpedaya dengan tipu helah dan retorik politik. Namun, kerajaan BN tidak mengenakan apa-apa tindakan kerana ianya adalah pilihan peribadi.

“Menyalahkan penjawat awam kerana cubaan mensabotaj usaha pembangunan kerajaan adalah alasan kerajaan PH kerana gagal dalam mentadbir negara khususnya dalam sistem penyampaian awam.

“Kegagalan kerajaan PH bukan berpunca daripada penjawat awam tetapi disebabkan pemimpin tidak cekap dalam pembuatan dasar.”

Jelasnya, pemimpin PH lebih memfokuskan urusan serta masalah dalaman parti sehingga menjejaskan kecekapan tadbir urus negara.

“PH perlu menerima hakikat bahawa berlakunya defisit sokongan rakyat khasnya melibatkan kebajikan penjawat awam kerana PH terbukti gagal memperjuangkan nasib rakyat.

“Kerajaan PH sering melakukan tindakan yang menzalimi penjawat awam. Misalnya dengan cadangan untuk memansuhkan skim pencen, menamatkan perkhidmatan kontrak dan pelbagai lagi.

“Sudahlah nasib penjawat awam tidak dibela dan diperjuangkan. Kini, kerajaan PH pula memberi amaran kepada mereka yang menyokong pembangkang,” katanya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.