Dakwaan Keluar Kenyataan Berbaur Perkauman Tak Benar, Hentikan Provokasi – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 27 Sept. – Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak bermaksud membenarkan tindakan yang diambil oleh Arwah Muhammad Khairil, sebaliknya ia merupakan satu doa semata-mata.

Beliau berkata demikian berhubung dengan isu yang viral pada 26 September, mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan palsu dan berbaur perkauman dalam isu kes kematian di sebuah kilang di Bayan Lepas.

“Mana mungkin kita boleh bersetuju dengan tindakan yang menyanggahi Islam bahkan kemanusian serta perundangan walau dengan apa jua alasan pun.

“Kenyataan semalam hanyalah semata-mata mendoakan arwah, dan menjadi satu amalan bagi umat Islam mendoakan umat Islam lain yang meninggal dunia, tidak lebih dari itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, katanya, Puteri UMNO sentiasa menyokong sebarang usaha oleh pihak polis dalam menangani penyebaran berita-berita palsu yang boleh mencetuskan isu perkauman dan agama supaya negara ini kekal aman dalam masyarakat majmuk.

“Saya berharap supaya dihentikan semua kenyataan-kenyataan provokasi tentang isu ini lagi bagi mengelakkan diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab untuk mengeruhkan lagi suasana,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.