Muafakat Ummah Suburkan Demokrasi, Perkukuh Pembangkang Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Rosesarwandi Saad menjelaskan Muafakat Nasional bakal mencorak rupa baru politik negara.

Katanya, Muafakat Nasional ini menyuburkan lagi demokrasi dan juga dapat memperkukuhkan blok pembangkang dalam menjalankan tugas semak dan imbang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Rosesarwandi menjelaskan, gabungan UMNO dan PAS ini boleh menghentikan kekeliruan dan pergolakan serta menarik kembali golongan muda yang terpengaruh dengan janji-janji manifesto semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.

“Muafakat Nasional adalah gabungan yang dinanti-nantikan oleh majoriti orang Melayu, termasuk anak-anak muda yang agak terkeliru dalam memilih dua parti kuat orang Melayu.

“Golongan muda pada masa ini melihat mereka telah ditipu selepas PH gagal menunaikan pelbagai janjinya.

“Gabungan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera dalam PAS akan memantapkan lagi hubungan dalam penjagaan parti,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Jelasnya, budaya politik matang dalam BN dan Gagasan Sejahtera akan menjadi benteng dan pemangkin kepada negara ini dan ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

“Keterbukaan, keikhlasan dan kesediaan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional ini memberi satu fasa baru dalam menyantuni politik Malaysia dengan penuh ukhwah,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.