Jawapan Kepada MB Kedah Yang Bimbang, Muafakat Nasional Untuk ‘Rehatkan’ Mukhriz

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkifli membidas Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dilapor berkata Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS hanya bermotif politik dan mahu menyelamatkan beberapa pemimpin UMNO yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Beliau memberikan jawapan ‘warung kopi’ buat Mukhriz iaitu, “memanglah apabila dua parti politik bekerjasama matlamat dia jelas dan semua orang tahu untuk mencapai kejayaan dalam perjuangan politik. Masakan dua parti dominan Melayu itu kerjasama untuk buat pakatan pinggan mangkuk, kenduri kahwin kot”.

Tegas beliau, Pemuda UMNO Kedah menantikan jawapan yang lebih baik dari setakat jawapan bermotif politik daripada Mukhriz, yang sentiasa meletakkan dirinya lebih bijak dari orang lain.

“Pemuda UMNO Kedah juga faham, seperti mana pemimpin PH yang lain, Mukhriz sudah tentu sealiran memperkecil, menghina muafakat nasional bagi menyedapkan hati, memberi motivasi penyokong mereka yang makin gundah melihat penyatuan umat Melayu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hakikatnya, terang beliau, di peringkat Kedah sememangnya Muafakat Nasional adalah mahu merehatkan Mukhriz daripada terbeban memimpin Kedah, negeri yang miskin dan banyak hutang.

“Kita kasihan dengan Mukhriz yang terpaksa bekorban percutian mewah ke luar negara bagi menjaga Kedah yang penuh dengan perlbagai cabaran.

“Ditakdirkan kalah kelak dan tidak lagi menjadi Menteri Besar, Mukhriz memiliki banyak masa lapang untuk melancong serata dunia tanpa perlu fikirkan soal kebajikan rakyat.

“Matlamatnya Muafakat Nasional adalah merampas kembali Kedah daripada PH, yang tidak melakukan pembangunan dan dasar yang jelas buat rakyat negeri ini.”

Begitu juga katanya, Muafakat Nasional mahu menyingkirkan barisan Exco Kedah yang kita tidak tahu apa kerja yang mereka buat kerana kehadiran mereka setakat mengisi kekosangan jawatan Exco sahaja, tetapi kerja buat tidak tentu hala.

“Nota ringkas buat Mukhriz, Muafakat Nasional juga bagi mengembalikan maruah Melayu, Islam yang semakin dicabar oleh sekutu PH iaitu Dap. Apabila Melayu bersatu ia demi mempertahankan bangsa dan agama yang semakin ditekan Dap yang seolah menguasai kerajaan pusat.

“Rasanya Mukhriz faham bagaimana Melayu, Islam ditekan sekarang ini, tetapi demi kedudukan, jawatan beliau lebih rela pejam mata, buta hati dari menyuarakan dan memperjuangkan agenda bangsa dan agama,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.