Jadilah Mahasiswa Yang Dapat Beri Manfaat Untuk Semua – Tok Mat
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mahasiswa perlu mengambil peluang yang terbuka luas di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bukan sahaja untuk menuntut ilmu malah untuk mempraktikannya segala kemahiran yang ada menerusi persatuan dan sebagainya di dunia luar.
Menurut beliau mereka perlu menjadi seorang pelajar yang bercampur dengan semua dan pada masa yang sama boleh mengolah cerita sendiri dan bukannya mengikut olahan cerita orang lain.
“Menerusi di IPTA, kita berpersatuan…masuk macam-macam menjadi pemimpin baik Persatuan Geografi, Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain. Ilmu yang kita timba ini jangan simpan untuk diri sendiri sebaliknya dipraktikkan kerana di peringkat pelajar kita mampu untuk mencuba dan mampu untuk kita mengeluarkan pandangan kita.
“Ini…untuk mendewasakan diri kita dengan kita berpolitik,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.
Beliau berkata demikian pada Program Keterlibatan Mahasiswa Dalam Politik Dan Masyarakat di Universiti Malaya, di sini Selasa malam.
Jelas Mohamad yang lebih dikenali dengan Tok Mat politik bahasa mudahnya umpama sebuah novel tetapi dia ada plot yang tersendiri.
“Begitulah dalam kehidupan kita. Bagaimana kita menjalani kehidupan untuk menyesuaikan diri supaya kita dapat apa yang penting sekali menjadi ‘be a god person’. Saya tidak pernah mendesak anak-anak saya untuk menjadi ‘engineer’, doktor atau arkitek… Saya hanya mahu mereka menjadi ‘be a god person’. Balas balik jasa masyarakat kepada kita, balas balik jasa negeri kepada kita, balas balik jasa negara kepada kita.
“Sebab kita beruntung lahir dalam negara yang aman…cuba bayangkan kita lahir di negara yang kacau-bilau. Balas balik kepada negara…buat baik dan tambah nilai. Macam mana nak tambah nilai.
“Di sini letaknya mahasiswa perlu bergerak aktif di dalam kampus. Jangan duduk di dalam kampus sahaja. Keluar…saya dulu sebagai Presiden Mahasiswa Negeri Sembilan, bila cuti penggal, masa itu penggal bukan semester, saya dengan kawan-kawan anak Negeri Sembilan berlatarbelakangkan Fakulti Ekonomi, ‘Engineering’ dan macam-macam lagi mengajar buat tuisyen kepada adik-adik kita di seluruh Negeri Sembilan. Kita kena curahkan balik,” katanya.
Tambahnya lagi daripada situlah ia mengajar mahasiswa untuk melihat betapa anak-anak di kampung dahagakan perkara berkenaan.
“Abang-abang dan kakak datang untuk ajar dia. Beri mereka semangat dan menjadi idola kepada mereka. Ianya akan menjadi satu pendorong kepada mereka. Itu politik ‘student’ untuk kita bekerja apa yang kita perlu buat beri balik.
“Belajar bagi balik kepada negara, jangan kita simpan, jangan jadi orang yang tamak kepada ilmu,” ujarnya. – UMNO ONLINE