Roboh Rumah Penduduk: Sepatutnya Kerajaan PH Lebih Sensitif Hal Kehidupan Rakyat – Mat Nadzari

KUALA LUMPUR 24 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan berkata sepatutnya Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan lebih sensitif menangani masalah penduduk di Kampung Paya Jaras Hilir dengan mengambil kira hal-hal berkaitan kehidupan rakyat secara jelas.

Ini kerana katanya, mangsa yang terlibat merasa kecewa dengan tindakan kerajaan Negeri Selangor yang gagal menyediakan rumah transit ataupun rumah Selangorku sebagaimana dijanjikan malahan keselesaan dan keadilan kepada mereka juga diketepikan.

“Memang kamu ada kuasa untuk mengambil tanah untuk kepentingan rakyat tetapi mesti dirunding dengan cara baik dan memberikan keselesaan di samping memberikan keadilan kepada mereka untuk berpindah, jangan tambahkan beban mereka dengan kehidupan yang sememangnya tenat dan susah macam ini.

“Macam mana hendak cari duit dengan ditambah ‘cost of living’, anak-anak penduduk di Paya Jaras kebanyakan bersekolah, jadi anak-anak ini perlukan tempat yang dekat dengan sekolah mereka, bukan sesuka hati roboh bila-bila masa.”

Mat Nadzari menjelaskan, sepatutnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menangguhkan perobohan sehingga anak-anak selesai menghadapi semua peperiksaan seperti PT3, PSRA, SPM dan lain-lain kerana ia adalah satu tuntutan kemanusiaan.

“Perobohan yang dilakukan PBT sangat mengganggu masa depan anak-anak yang menghadapi peperiksaan penting bagi mencorakkan masa depan mereka.

“Jika mereka dipindah atau terpaksa dipindah dalam keadaan sekarang maka tentunya jauh dari kawasan sekolah-sekolah dan juga ibu bapa pula yang keluar bekerja akan mengalami kesukaran dari segi jarak, ini sangat membebankan dan kami harap kerajaan negeri sensitif.

“Insya Allah … pihak UMNO akan melihat dari aspek perundangan sama ada mangsa-mangsa ini boleh dapat pampasan di atas kejadian ini.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.