Peguam Negara Buat Kenyataan Berunsur ‘ Scandalous’, Guna Kuasa Pangkat Pengaruh Keputusan

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, kenyataan Hakim Mahkamah Koroner Shah Alam berkenaan inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohamad Kassim jelas terbukti bahawa Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menggunakan kuasa dan pangkat untuk mempengaruhi keputusan penghakiman.

Jelas beliau, secara tidak langsung tindakan Tommy telah mencemarkan sistem perundangan negara.

“Wanita UMNO melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan Tommy Thomas dalam menegakkan keadilan kes kematian Allahyarham Adib.

“Hakim Mahkamah Koroner Shah Alam juga mendapati Tommy telah bertindak menghina mahkamah apabila membuat satu kenyataan yang berunsur ‘scandalous’.

“Ini jelas tindakan Tommy merupakan satu tindakan yang telah mencemarkan nama baik sistem perundangan negara apabila kenyataan sedemikian telah dikeluarkan oleh seorang yang bergelar Peguam Negara,” ujar beliau melalui satu kenyataan media.

Justeru beliau berharap agar kes Allahyarham Adib akan mendapat pembelaan yang saksama dan berintergriti agar pengorbanan beliau tidak dipersiakan.

Semalam, Mahkamah Koroner Shah Alam telah membenarkan agar prosiding komital ke atas Peguam Negara dimulakan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.