Mohon Yang di-Pertuan Agong Tamatkan Khidmat Tommy Thomas

KOTA BHARU 24 Sept. – Pemuda UMNO negeri ini merafak sembah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al- Mustafa Billah Shah supaya menamatkan khidmat Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara secepat mungkin

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, langkah itu bagi menjaga kehormatan martabat jawatan itu lanjutan daripada tindakan subjudis Thomas yang menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian anggota bomba, Adib Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, semasa inkues sedang berlangsung.

Malah beliau berkata, Thomas tidak lagi layak sebagai Peguam Negara kerana tidak menghormati prinsip “Rule Of Law” apabila bertindak secara pilih kasih menggugurkan kes-kes melibatkan ‘banglo rasuah’ Lim Guan Eng dan isyarat lucah Siti Kasim.

“Pemuda UMNO Kelantan merafak sembah memohon perkenan Yang Di Pertuan Agong (YDPA) untuk menamatkan Tommy sebagai Peguam Negara selaras dengan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan itu memberi kuasa kepada baginda untuk melantik dan menamatkan jawatan Peguam Negara selama diperkenankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hariri berkata, Thomas juga gagal memberikan nasihat yang tepat dan adil kepada Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja mengenai bahaya impak Statut Rome dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Ini menguatkan lagi alasan untuk menamatkan perkhidmatan Peguam Negara ini.

“Ternyata Thomas gagal memberi teladan baik kepada masyarakat sepanjang memegang jawatan Peguam Negara yang tentunya menjejaskan keyakinan rakyat kepada perjalanan pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.