Inkues Adib: Tindakan Peguam Negara Hina Mahkamah, Rakyat Hilang Kepercayaan

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan melihat perbuatan Peguam Negara mendahului keputusan mahkamah bukan sahaja menjejaskan kes, tetapi juga boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi Kehakiman di negara ini yang sepatutnya telus dan tanpa kacau ganggu pihak berkepentingan.

Serentak itu, beliau menyokong penuh saranan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar Peguam Negara, Tommy Thomas segera meletakkan jawatan kerana telah menghina mahkamah.

“Alasan penghakiman bagi permohonan bapa Muhammad Adib, anggota bomba yang menjadi mangsa rusuhan kuil telah dikeluarkan semalam bagi memfailkan Perintah Komital terhadap Tommy Thomas kerana mendahului keputusan mahkamah koroner berkait kes inkues kematian Muhammad Adib.

“Semasa membenarkan permohonan Hakim Koroner telah secara jelas menyebut beliau berpuas hati bahawa Tommy Thomas telah mengambil pendirian pra matang mengenai punca kematian arwah Adib. Ini membawa maksud bahawa Tommy menggunakan kedudukan sebagai Peguam Negara menentukan keputusan kes sebelum selesai perbicaraan. Perbuatan Tommy adalah subjudis, mendahului mahkamah dan merupakan suatu kesalahan yang dikategorikan sebagai menghina mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Apa yang paling membimbangkan tambah Nik Saiful apabila kedudukan mahkamah yang sepatutnya adil telah dijadikan medan permainan wayang semata-mata dan boleh dianggap sekadar meletakkan kedudukan Hakim dan Mahkamah sebagai proses ‘rubber stamping’ semata-mata sebagaimana disebutkan oleh Hakim Koroner.

“Saya amat yakin bahawa dalam keadaan sebegini, Aturan 52 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 bagi permohonan perintah pengkomitan terhadap individu seperti Tommy Thomas adalah amat wajar dan bertepatan.

“Walaupun di peringkat permohonan, kes prima facie yang berjaya diasaskan setakat semalam sudah cukup memberikan gambaran jelas bahawa kedudukan yang berkuasa seperti Peguam Negara tidak sepatutnya dikekalkan kepada individu seperti Tommy Thomas.

“Sebagaimana kenyataan Dr Asyraf semalam, andaikata Tommy Thomas tetap mempertahankan tindakan dan jawatan beliau, kami Pemuda UMNO Malaysia merafak sembah kepada DYMM Yang Dipertuan Agong agar mempertimbangkan  supaya menggunakan kuasa budi bicara beliau di bawah Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan untuk menamatkan jawatan Tommy Thomas,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.