AG Hina Mahkamah: Hentikan Pemerkosaan Keadilan, Tommy Perlu Dipecat – Saarani

IPOH, 24 Sept – Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas perlu meletakkan jawatannya dengan segera atau dipecat bagi memastikan kedaulatan undang-undang di negara ini terjamin, tegas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu juga menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar segera menghentikan pemerkosaan keadilan di negara yang dicintai ini.

“Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mesti meletakkan jawatannya setelah beliau didapati menghina mahkamah oleh Hakim Koroner Rofiah Mohamad. Penghakiman ini dibuat setelah peguam negara itu mengeluarkan satu afidavit yang menyatakan pendirian beliau terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim ketika inkues sedang berlangsung.

“Ini bukan kali pertama Tommy terbabit dalam kontroversi yang menyebabkan sistem keadilan negara dipersoalkan.

“Rakyat masih tertanya-tanya kenapa kes-kes yang melibatkan pemimpin kerajaan digugurkan dan disenyapkan seperti kes banglo, terowong, penghinaan oleh individu pro-PH kepada institusi Raja-Raja Melayu, kes dadah yang melibatkan anak menteri, manakala kes-kes mereka yang pro-pembangkang cepat diambil tindakan,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan seterusnya menempelak Tommy walaupun sudah lebih setahun dilantik ke jawatan itu, beliau masih belum lagi dapat menjalankan tugasnya dengan adil dan masih terperangkap dalam mentaliti minda politik partisan.

“Sepatutnya, setelah menjawat jawatan peguam negara beliau mesti lebih objektif dalam menobatkan ‘rule of law’ seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan sebelum membentuk kerajaan.

“Hari ini rata-rata rakyat makin sangsi dengan keupayaan beliau menegakkan keadilan undang-undang.

“Penghakiman oleh Yang Arif Hakim Koroner ini membuktikan perkara ini dan wujudnya “sesuatu yang tidak kena dengan peguam negara”,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.