Skuad Sabil Bukan Untuk Berperang, Apatah Lagi Nak Cetus Huru-Hara Dalam Negara – Asyraf Wajdi
BENTONG 23 Sept – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menekankan bahawa penubuhan Skuad Sabil bukanlah untuk berperang atau mencetuskan sebarang huru-hara sebaliknya ia dicitrakan daripada perkataan ‘sabil’ dengan semangat kesukarelawan, pengorbanan dan kesetiaan berkhidmat serta menabur budi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, citra sabil ini diambil kerana UMNO dalam keadaan kalah dan harus bangkit semula sebagai suatu wadah yang akan diperkasakan demi ummah dan agama tercinta.
“Kita bukannya mencari musuh tapi kita hanya hendak berkhidmat dan menunjukkan bahawa UMNO ini terus setia untuk bekerja, bersatu dan berjasa kepada masyarakat dengan semangat pengorbanan yang tinggi.
“Kita ingin membina dan menggarapkan satu roh, akal, jiwa dan idealisme yang berpandukan kepada agenda perjuangan UMNO,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Penutup Latihan Asas Skuad Sabil Siri 2 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, semalam.
Katanya, Skuad Sabil ini akan menjadi kelompok di baris hadapan sebagai dalam berbakti dan berjasa kepada masyarakat mewakili parti UMNO .
“Ramai yang menyokong dan ramai juga yang memandang sinis dan mahu melihat Skuad Sabil ini gagal, tetapi jangan risau kerana yang lebih penting redha Allah SWT adalah satu matlamat yang lebih penting,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kalau hendak wujudkan Skuad Sabil yang benar-benar ikhlas berkorban dan sanggup berjuang demi agama, bangsa dan tanah air maka asas yang utama ialah solat sebagai tiang agama dan sebab itulah perlunya menjaga hubungan dengan Allah dan juga masyarakat.
“Kita buat ini niat kita kerana Allah Taala, memperjuangkan agama-Nya, mempertahankan bangsa dan tanah air menerusi agenda parti keramat UMNO dan pada masa sama kita kena gagah.
“Insya-Allah … selepas ini Skuad Sabil akan wujudkan dan diadakan pasukan-pasukan co-bencana, co-perubatan, co-keselamatan dan beberapa unit lagi.”
Ini kerana katanya, apabila wujudnya agihan maka akan memudahkan lagi ahlinya menjaga kebajikan serta keselamatan selain memastikan aspirasi dan perjuangan demi memulihkan keyakinan parti kepada masyarakat dapat diteruskan.
“Yang penting kita akan menjadi tunjang utama untuk mengambil alih Putrajaya. Anak-anak muda semakin berminat dan ingin berbakti, berjasa melalui Skuad Sabil ini. Kita tidak boleh perlekehkan dan ini harus diraikan bersama-sama,” katanya lagi.
Kursus ini merupakan kumpulan kedua selepas yang pertama dan menjadi perintis sebelum ini yang dilancarkan Ogos lalu dengan melibatkan seramai 300 anggota di kalangan Pemuda UMNO Malaysia.- UMNO ONLINE