Roboh Rumah: Tidak Tunai Janji Adalah Manifesto PH – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 23 Sept – “Janganlah kerana isu ini dibangkitkan oleh pembangkang maka kerajaan negeri Selangor tidak mahu selesaikan. Isu ini bukan diada-adakan oleh pembangkang… isu ini adalah isu ‘real’,” ujar Ketua Pembangkang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata demikian mengulas isu kerajaan negeri yang merobohkan rumah penduduk di Kampung Paya Jaras dalam musim jerebu tanpa menyediakan penempatan sementara kepada mereka.
Jelas Ismail, sekiranya kerajaan negeri menyediakan perumahan sementara untuk mereka yang terlibat, mana mungkin pembangkang akan menyentuh berkara ini.
“Janganlah kata isu ini saja dibangkitkan pembangkang jadi mereka tidak mahu selesaikan. Ini bukan isu kecil. Anak umur empat tahun… bayi… duduk di khemah yang tidak ada dinding dengan keadaan cuaca jerebu, jadi jangan cakap ini isu kecil, ini isu besar… ini isu kemanusiaan.
“Walaupun pembangkang bangkitkan isu ini tetapi isu ini harus diselesaikan. Mereka kerajaan… kalau kita kerajaan kita akan selesaikan, mereka kerajaan jadi mereka kena selesaikan.
“Kalau ikutkan, itu kawasan kubu kuat Pakatan Harapan (PH)… kita kalah di PDM itu. Tapi ini bukan isu parti.. tidak kira parti apa… Rohingya yang tidak ada kena mengena dengan kita pun kita bantu tapi sekarang tidak timbul isu negara… politik atau sebagainya… ada yang kata mereka PR tapi ini semua tidak timbul. Sebagai manusia penderitaan mereka kerajaan kena ambil berat,” tegas beliau lagi.
Justeru Ismail mendesak agar kerajaan negeri Selangor melupakan soal politik dan segera membantu menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau turut membidas sikap kerajaan negeri yang hanya pandai menabur janji kepada penduduk yang terlibat tetapi sehingga kini tidak ada satu pun yang ditunaikan.
“Sehingga kini kerajaan negeri tidak mampu beri jawapan tepat sedangkan mereka sudah janji macam-macam tapi janji kerajaan PH ni memang sudah terbukti semua tidak ditunaikan. Tidak menunaikan janji itu adalah manifesto mereka jadi janji sahajalah.
“ADUN pun sehingga hari ini masih belum datang berjumpa dengan penduduk. Sebagai ADUN kenalah datang jumpa… boleh selesai atau tidak tetap kena jumpa. Janganlah kerana marahkan rakyat komplen dekat media dan sebagainya terus tak nak jumpa rakyat. Tak bolehlah macam ni. Sebagai pemimpin, dikritik oleh pengundi adalah perkara biasa,” bidas beliau. – UMNO ONLINE