Roboh Rumah: Dulu Bagi Alasan Kerajaan Negeri Dan Persekutuan Tak Sama, Sekarang… Apa Lagi Alasan? – Noh


SUNGAI BULOH, 23 Sept – “Dulu bagi alasan roboh rumah tidak beri penempatan sementara sebab kerajaan Persekutuan lain tapi sekarang kerajaan negeri dan Persekutan hak mereka… jadi apa lagi alasan?” bidas bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar.

Beliau melahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Selangor yang mengambil tindakan drastik meroboh rumah penduduk di Kampung Paya Jaras dalam musim jerebu ini tanpa menyediakan penempatan sementara.

“Dua tahun lepas ada satu isu serupa di mana penduduk kena pindah sebab duduk bawah laluan TNB tapi pada masa itu saya menteri KPKT jadi selesaikan masalah mereka dengan memberi rumah PPR. Begitu juga kejadian roboh di Subang… saya juga beri rumah.

“Soalnya, dulu mereka kata kerajaan negeri PKR dan kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN), dasar tidak sama tapi sekarang kerajaan dah sama. Apa lagi alasan nak bagi. Sepatutnya mereka boleh berbincang dengan kerajaan Persekutuan secara lebih mudah. Setahu saya Rumah PPR Lembah Subang Satu dan Dua masih banyak kosong, kenapa tak nak bincang baik-baik.

“Kerajaan negeri Selangor arah tutup sekolah sebab jerebu tapi kerajaan yang sama arah runtuh rumah masa jerebu… adilkah macam tu?” selar Noh.

Ulas beliau, tindakan kerajaan negeri Selangor ini adalah amat tidak bertimbang rasa dengan masa dan keadaan selain tidak mengikut prosedur yang betul.

“Bagi saya kerajaan yang ada sekarang ini bukan sahaja kejam tetapi ‘maha zalim,” tegas beliau lagi.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri Selangor tadbiran Pakatan Harapan (PH) telah meroboh kediaman sekitar 100 penduduk melibatkan 32 daripada jumlah keseluruhan rumah di kawasan berkenaan iaitu 74 unit di Paya Jaras, di sini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.