Rakyat Malaysia Diminta Berdoa Untuk Keadilan Adib

KUALA LUMPUR 23 Sept. -Rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama diminta mendoakan keputusan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim pada Jumaat ini berjalan lancar dalam penuh keadilan.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia serta Persatuan Pesara Bomba dari enam negeri dalam kenyataan bersama memberitahu akan mengadakan majlis tahlil dan solat hajat pada Khamis ini iaitu sehari sebelum keputusan inkues diumumkan.

Sehubungan itu, kesemua kesatuan pekerja dan pesara bomba dari Selangor, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Sabah itu juga menyeru supaya seluruh balai-balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut serta mengadakan majlis tahlil serta doa pada tarikh yang sama atau sebelumnya.

“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia yang telah menzahirkan simpati, sokongan dan kesudian menganjurkan majlis-majlis tahlil dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan Allahyarham Muhammad Adib.

“Sesungguhnya doa itu adalah senjata bagi orang-orang yang beriman dan sesungguhnya juga adalah menjadi kewajipan kita bersama untuk mendoakan keadilan atas kematian mana-mana sahaja anggota JBPM yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Koroner pada 21 Ogos lalu telah menetapkan 27 September sebagai tarikh keputusan prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib selepas meneliti semua keterangan yang diambil daripada saksi sebelum ini.

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar telah berlangsung selama 41 hari selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.