Nak Anjur ‘Kongres Maruah Melayu’… Tapi Maruah Melayu Yang ‘Tergadai’ Di Paya Jaras Tak Dibela


KUALA LUMPUR, 23 Sept. – Ke mana hilangnya sikap kemanusiaan dan pudarnya sikap bertanggungjawab sebagai manusia apabila ianya terserlah dalam isu perobohan rumah yang didiami rakyat berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras, Sungai Buloh, minggu lalu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Hakasah Abu Hasib berkata, beliau sedih melihat kekerasan yang dilakukan kerajaan negeri terhadap penduduk terbabit, lebih-lebih lagi ada anak-anak penduduk ini sedang dan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PT3 dan seumpamanya yang tentunya akan menjejaskan fokus terhadap masa depan mereka.

“Kita difahamkan tidak lama lagi ada parti dalam kerajaan yang akan mengadakan satu kongres dinamakan ‘Kongres Maruah Melayu: Amanat Tun Dr Mahathir’, kononnya dianjurkan Pusat Kajian Kecermerlangan Melayu Universiti Malaya namun hakikatnya ia didukung oleh beberapa pemimpin politik ‘lompat parti’ yang kita tak pasti arah dan tujuan penganjurannya.

“Jadi sebelum penganjur lebih jauh mempromosikan kongres tersebut, bukankah jauh lebih baik untuk pihak penganjur datang melihat sendiri ‘maruah Melayu’ yang tergadai dan dirobak-rabik sebagaimana yang berlaku Sungai Kedondong, Paya Jaras, ini.

“Tak guna untuk mereka memperuntukkan belanja yang besar dalam melaksanakan kongres namun ada anak bangsa yang terpaksa merengkok di khemah yang kedinginan, menumpang di rumah saudara tanpa adanya pusat pemindahan akibat rumah yang selama ini diduduki dirobohkan pihak berkuasa,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tambahnya, beliau bukan mempertahankan penduduk untuk terus menduduki tanah rizab, malah tidak pernah sesekali menghalang kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pelebaran Sungai Kedondong sebagaimana yang dicadangkan sebelum ini, namun ini melibatkan isu kemanusiaan kerana rumah-rumah tersebut dirobohkan dalam keadaan negara dilanda jerebu malah semua sekolah di Selangor ditutup.

“Ke mana arah hampir 100 penduduk yang terlibat dalam operasi tersebut? Sehubungan itu, kita berharap agar semua pihak termasuk kerajaan negeri dapat tampil menghulurkan bantuan termasuk janji kerajaan negeri untuk menyediakan rumah Selangorku kepada mangsa yang terlibat.”

Untuk rekod, setakat ini 32 daripada jumlah keseluruhan rumah di kawasan berkenaan iaitu 74 unit rumah telahpun dirobohkan.

Difahamkan kerajaan negeri Selangor mengambil keputusan untuk merobohkan kampung tersebut bagi projek pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.