Autonomi Satu Elemen Baharu, Akar Umbi Yakin Kebangkitan UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 23 Sept – Konvensyen UMNO Sabah pada Sabtu lalu merupakan tanda kebangkitan UMNO negeri tersebut di bawah kepimpinan pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, ujar Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beluran, Mohd Fazli Zikri.

Katanya, jaminan kepentingan autonomi diberikan sepenuhnya kepada UMNO Sabah merupakan satu elemen baharu yang ditawarkan oleh pusat kepada negeri.

“Selain daripada penyatuan ummah yang dilihat sebagai satu strategi berkesan untuk menyatupadukan Bumiputera Islam, pendekatan autonomi ini juga satu tawaran baru yang begitu dekat di hati rakyat Sabah.

“Kerana kita melihat selama ini di bawah kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dahulu juga memberi keutamaan kepada Sabah dalam banyak aspek dan kita dapat lihat ramai ahli Parlimen Sabah Sarawak diberikan tempat sebagai menteri dan timbalan menteri di dalam jawatan kabinet.

“Hari ini kita dapat lihat elemen kekurangan ini di mana Sabah (juga) ketinggalan dari segi ekonomi terutama agihan ekonomi yang tidak rata,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Sabtu lalu, Konvensyen UMNO Sabah telah dirasmikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Fazli juga berharap konvensyen tersebut mengambil perhatian akan suara akar umbi.

“Supaya rakyat Sabah ini diberikan keutamaan terutamanya dari segi agihan ekonomi iaitu royalti minyak di mana kerajaan hari ini gagal menunaikan janji 20 peratus royalti minyak…

“Kita harapkan suara akar umbi tidak biarkan begitu sahaja terutamanya tawaran-tawaran yang diberikan kepada rakyat Sabah jika diberi peluang memerintah kembali akan dapat ditunaikan, sebagaimana kerajaan dahulu menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya umum ketiga belas.

“Saya percaya sekiranya UMNO kembali memerintah, UMNO akan dapat menunaikan janji-janji terutamanya royalti minyak, hak autonomi dan cukai 40 peratus diberikan kepada negeri Sabah,” tambahnya lagi.

Manakala bagi Ketua Puteri UMNO Sabah, Fadilah Sarbi berharap semangat peserta konvensyen tidak terhenti selaras dengan temanya ‘Aspirasi Kebangkitan Rakyat’.

“Peserta-peserta konvensyen yang datang dari kepimpinan UMNO setiap bahagian dan ahli-ahli perlu merealisasikan apa yang kita katakan dan kotakan di sini dan diimplementasikan di peringkat bahagian.

“Tidak gunanya kita berkonvensyen di sini, bersorak tetapi ia tidak diaplikasikan di bahagian masing-masing. Saya mengharapkan semua perwakilan yang hadir dapat memfaatkan ruang dan peluang yang ada dan dibawa ke bahagian masing-masing untuk keberjayaan UMNO kelak,” jelasnya.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Sepanggar itu turut yakin komitmen presiden dan pengerusi perhubungan mengenai tawaran-tawaran baharu terutama autonomi dan juga mengembalikan hak-hak rakyat Sabah akan disambut baik oleh rakyat, seterusnya mampu bagi parti memenangi PRU akan datang.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua UMNO Wanita Kudat, Normalah Rasick berpandangan UMNO Sabah kini lebih mantap apabila dibarisi kepimpinan negeri dan bahagian yang baharu.

“Saya selaku wanita menyambut baik saranan Datuk Seri Zahid yang mana potensi kita sebagai ahli-ahli UMNO ini haruslah dipertingkatkan dari segi kekuatan semangat, sabar, tabah untuk menghadapi PRU akan datang ini…

“Dengan adanya wajah-wajah baru ini maka UMNO Sabah ini kelihatan lebih mantap dengan pemimpin-pemimpin baru, semangat baru dan perjuangan baru.

“Kami UMNO Sabah akan tetap teguh, setia bersama UMNO Sabah dan kepimpinan UMNO Malaysia,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.