Semangat Sukarela Perlu Dikekalkan Dalam UMNO, Skuad Sabil Terjemah Perjuangan – Ismail Sabri


BENTONG 22 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semangat perjuangan dan pengorbanan dalam UMNO perlu terus dikekalkan sebagaimana menjadi keutamaan dalam Skuad Sabil.

Katanya, Skuad Sabil yang diilhamkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendapat sambutan hangat dari kalangan masyarakat khususnya Pemuda UMNO.

“Saya kagum bukan sahaja dengan struktur Skuad Sabil yang ada bersama akan tetapi dengan ikrar dan hala tuju yang jelas serta juga semangat Skuad Sabil yang dapat dilihat pada masa sekarang ini.

“Kita berjaya menubuhkan UMNO atas semangat dan juga rasa sukarela orang-orang Melayu pada masa dan ketika itu. Semangat sukarela UMNO ketika itu telah menyebabkan UMNO terus berkembang dan tumbuh sehingga kini,” katanya semasa Majlis Perasmian Penutup Latihan Asas Skuad Sabil Siri 2 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan semangat sukarela adalah amat penting dalam parti perjuangan dan ia menjadi asas pada kelangsungan UMNO selama ini.

Tambahnya lagi, sebagai contoh semangat sukarela ahli UMNO sebelum kemerdekaan yang terdiri dari golongan miskin, sanggup berkorban harta dan kewangan untuk diserahkan kepada UMNO supaya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dapat menuntut kemerdekaan semasa berunding di London.

“Kerana semangat sukarela di kalangan ahli UMNO yang akhirnya Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Inilah semangat yang perlu ada pada Skuad Sabil ini.

“Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan, tiada pengorbanan tanpa perjuangan.

“Saya percaya jika ahli UMNO menetapkan budaya sukarela dan pengorbanan di hadapan dan apa pun yang berlaku sudah pasti kita tetap kukuh dengan disokong oleh rakyat,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.